Exco Perlis bimbang penjualan cecair pembasmi kuman tiruan

A
A
A

KANGAR - Kerajaan Perlis memandang serius lambakan produk cecair pembasmi kuman dan topeng muka yang dikeluarkan dalam masa singkat semasa penularan wabak Covid-19.

Exco Sumber Asli dan Alam Sekitar, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, dan Kesihatan, Teh Chai Aan berkata, kekangan bekalan produk berkenaan dikhuatiri membuka peluang kepada kemunculan produk tiruan dan tidak menepati standard memasuki pasaran.

Menurutnya, ketika ini berlaku lambakan produk cecair pembasmi kuman dilihat bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan hingga menimbulkan tanda tanya sama ada ia mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kita bimbang muncul lambakan produk yang tidak diketahui latar belakangnya dalam tempoh singkat apabila produk berkenaan mengalami kekurangan di pasaran sekali gus mendapat permintaan tinggi.

"Malah, tindakan pengguna membeli produk berkenaan di internet tanpa melakukan semakan mengenai ketulenannya dibimbangi mendatangkan bahaya seperti memakai produk timbang kilo," katanya.

Chai Aan berkata, beliau bimbang dengan kandungan yang digunakan sekiranya ia adalah produk palsu.

"Produk berkenaan sepatutnya melindungi bahagian tangan dari kuman, bagaimanapun jikalau ia produk tiruan dibimbangi boleh merosakkan kulit, kulit kering atau mengelupas," katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, berdasarkan pemantauan di laman sosial Facebook dan Instagram, produk berkenaan dilihat dijual pada harga tidak munasabah.

Artikel Berkaitan:

"Susulan itu, pengguna di Perlis dinasihatkan untuk peka dalam memilih produk terbaik yang dijamin ketulenan dan diiktiraf bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau berkata, pengguna turut dinasihatkan agar duduk di rumah, kerap mencuci tangan dan tidak pergi ke mana-mana tanpa urusan penting.