Polis kesan ibu kandung dua beradik lemas

PORT DICKSON – Polis sedang mengesan ibu kandung kepada dua kanak-kanak yang meninggal dunia akibat lemas selepas kereta dinaiki mereka menggelongsor masuk ke Sungai Linggi, Tanjung Agas di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, wanita berusia 41 tahun yang turut berada dalam kenderaan bersama dua beradik terbabit ketika kejadian bukannya ibu kandung mereka.
Sebaliknya ujar beliau, wanita tersebut merupakan teman wanita kepada bapa mangsa.
“Setakat ini, status hubungan antara bapa dan ibu kandung kanak-kanak tersebut masih belum dapat dipastikan sama ada mereka masih suami isteri atau sudah berpisah," katanya.
Sebelum ini, polis menahan reman bapa dan teman wanitanya selepas didapati memberi keterangan yang meragukan berhubung kejadian terbabit.
Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk empat kes yang masih dikehendaki, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Ujian air kencing terhadap kedua-dua mereka didapati negatif, namun semakan ke atas kereta yang digunakan didapati merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang dalam satu laporan polis di Nusa Bestari, Johor pada tahun 2022.
Dua beradik berusia enam dan lapan tahun lemas selepas kereta yang dinaiki bersama bapa dan seorang wanita terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
Difahamkan ketika kejadian, kereta tersebut diparkir di tebing sungai dalam keadaan enjin dimatikan, sementara bapa mangsa keluar sebentar untuk merokok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

