UMSKAL nafi 100 pelajarnya dibiar kelaparan

Pelajar UMSKAL beratur untuk mendapatkan makanan dengan menjaga jarak yang disarankan susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 hari ini. - Foto Bernama
Pelajar UMSKAL beratur untuk mendapatkan makanan dengan menjaga jarak yang disarankan susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini menafikan dakwaan bahawa 100 penuntut di kampus cawangannya, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dibiarkan kelaparan di asrama pelajar susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa sejak Rabu.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, dakwaan yang dibuat melalui klip video berdurasi tujuh minit 39 saat itu telah mencemarkan nama baik institusi pengajian itu.

“Pengurusan UMS menegaskan bahawa pelajar UMSKAL berada dalam keadaan baik... kebajikan mereka sentiasa dipelihara bagi memastikan keselesaan pelajar dan keadaan emosi serta fizikal mereka berada pada tahap terbaik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Video itu mula tular di Facebook sejak semalam.

Justeru, Taufik meminta individu terlibat agar segera menarik balik tuduhan dan pernyataan di dalam video itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Pengurusan UMS menasihati pihak awam yang ingin memperoleh atau menyiarkan apa-apa maklumat mengenai UMS supaya mendapatkan maklumat yang sahih dengan menghubungi pegawai atau jabatan yang diberikan bidang kuasa untuk berbuat demikian. - Bernama

Artikel Berkaitan: