Lima pakar perubatan keluarga KKM kini miliki subkepakaran pediatrik - Dr Dzulkefly

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini mempunyai lima pakar perubatan keluarga (FMS) yang memiliki subkepakaran dalam kesihatan kanak-kanak, manakala tiga lagi sedang menjalani latihan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mereka kini bertugas di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Terengganu, serta dua lagi di Sabah.
“Buat masa ini terdapat lima FMS yang mempunyai subkepakaran dalam kesihatan kanak-kanak dan tiga lagi sedang menjalani latihan.
“KKM mengakui wujud jurang besar iaitu kekurangan tenaga mahir, nisbah ahli terapi yang rendah berbanding negara serantau, agihan tidak seimbang khususnya di Sabah dan Sarawak serta fasiliti luar bandar yang terhad,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis, bagi menjawab pertanyaan Senator Dr RA Lingeshwaran.
Ahli Dewan Negara itu ingin mengetahui sama ada wujud jurang dari aspek pakar perubatan, profesional sains kesihatan bersekutu dan petugas lain, susulan peningkatan kes autisme dan Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) dalam kalangan kanak-kanak.
Tambah Dr Dzulkefly, bagi tujuan penambahbaikan dan mengatasi cabaran tersebut, beberapa strategi sedang giat dijalankan termasuk telerehabilitasi untuk memperluas capaian rawatan, intervensi berasaskan ibu bapa secara berkumpulan serta perkhidmatan jangkauan komuniti di kawasan luar bandar.
Selain itu, katanya, penambahbaikan dilakukan melalui agihan tenaga kerja mengikut negeri serta permohonan pertambahan jawatan ahli terapi kesihatan bersekutu yang dikemukakan kepada Bahagian Sumber Manusia KKM.
Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Dr Dzulkefly berkata, KKM telah mencadangkan pewujudan kluster perkhidmatan integratif berpakar di klinik kesihatan.
“Ia merangkumi kepakaran perubatan keluarga dan hospital serta diperkukuh dengan perkhidmatan sokongan klinikal bagi meningkatkan perkhidmatan intervensi awal, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.
Menurutnya, KKM bersedia menangani kes autisme dan ADHD susulan pelaksanaan saringan wajib prasekolah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya, saringan dan penilaian semula bagi autisme dan ADHD boleh dijalankan di semua 1,095 Klinik Kesihatan (KK) dan 80 Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) di seluruh negara, manakala diagnosis awal boleh dibuat oleh FMS di KK.
“Intervensi awal boleh dimulakan di KK bagi terapi pemulihan cara kerja dan pertuturan.
“Bagi kes yang dirujuk ke hospital, sebanyak 70 hospital KKM mempunyai pakar pediatrik yang boleh menguruskan kes autisme dan ADHD, manakala bagi kes-kes kompleks, terdapat 14 pakar subkepakaran perkembangan kanak-kanak termasuk enam orang yang sedang menjalani latihan, yang ditempatkan di hospital-hospital terpilih.
“Pasukan ini disokong oleh profesion kesihatan bersekutu seperti ahli terapi cara kerja, terapi pertuturan-bahasa, audiologi dan fisioterapi,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

