PLKN diperluas di 20 universiti awam tahun depan

PEKAN - Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diperluas di 20 universiti awam di seluruh negara pada tahun hadapan, kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Ya’cob Samiran.
Beliau berkata, pihaknya turut mengadakan projek rintis PLKN di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan masing-masing tiga politeknik serta Institut Pendidikan Guru (IPG) tahun ini.
"Tempoh latihan di universiti lebih panjang merangkumi satu hingga dua semester berbanding 45 hari di kem.
"Lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah mengikuti latihan di kem dikecualikan apabila melanjutkan pengajian ke universiti,” katanya pada sidang media Majlis Jerayawara Parlimen Belia Malaysia Siri kelima di Kem 505 Askar Wataniah di sini pada Sabtu.
Ya’cob berkata, melalui pelaksanaan PLKN di institusi pengajian tinggi, sebanyak kira-kira 150,000 belia dapat dilatih setahun.
Selain itu, beliau berkata, PLKN akan diperluas ke 13 kem latihan di seluruh negara melibatkan keseluruhan 25,000 orang setahun.
"Pada masa ini, hanya dua kem beroperasi manakala selebihnya masih dalam proses naik taraf dan persediaan. Bilangan kem akan ditambah bermula siri kedua dan seterusnya,” katanya.
Mengenai insiden 254 pelatih lelaki PLKN 3.0 Siri 1/2026 di Pekan disarankan pulang pada Januari lepas, beliau berkata, ia disebabkan jumlah peserta melebihi kapasiti ditetapkan susulan pengesahan penyertaan saat akhir termasuk kehadiran calon simpanan serta individu secara datang terus.
"Ini kerana ada calon tidak memberi maklum balas awal tetapi hadir pada hari pendaftaran selain kehadiran calon simpanan dan peserta secara sukarela,” katanya.
Ya’cob berkata, pihaknya terpaksa mematuhi prosedur sedia ada dengan memberi keutamaan kepada peserta yang telah membuat pengesahan dan hadir mengikut tatacara ditetapkan diikuti calon simpanan yang layak. - Bernama
Ringkasan AI
- Program Latihan Khidmat Negara diperluas di 20 universiti awam pada tahun hadapan
- Tempoh latihan di universiti lebih panjang, satu hingga dua semester berbanding 45 hari di kem
- Lulusan SPM yang telah mengikuti latihan di kem dikecualikan apabila melanjutkan pengajian ke universiti
- Pelaksanaan PLKN di institusi pengajian tinggi membolehkan kira-kira 150,000 belia dilatih setahun
- PLKN juga akan diperluas ke 13 kem latihan di seluruh negara melibatkan keseluruhan 25,000 orang setahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
