Sultan Kedah mahu rakyat pelbagai kaum pertahan keamanan dan perpaduan

Sultan Sallehuddin (dua dari kiri) berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Imam kepada Mokhtar Zakaria (kanan) sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Wisma Darul Aman.
Sultan Sallehuddin (dua dari kiri) berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Imam kepada Mokhtar Zakaria (kanan) sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Wisma Darul Aman.
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menegaskan keamanan dan perpaduan yang dikecapi rakyat ketika ini adalah nikmat besar yang wajib disyukuri serta dipertahankan bersama.

Baginda menyeru agar seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang supaya terus memelihara keharmonian serta saling menghormati antara satu sama lain.

“Dalam arus dunia yang serba mencabar, umat Islam sedang berdepan pelbagai ujian sama ada aspek moral, sosial, ekonomi mahupun ideologi.

“Menjadi tanggungjawab kita semua memperkukuhkan jati diri, memperkasa institusi keluarga serta membentuk generasi muda yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia,” titah baginda pada majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Kedah di Wisma Darul Aman pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sultan Sallehuddin (kiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir memeriahkan sambutan Maulidur Rasul di Alor Setar pada Jumaat.
Sultan Sallehuddin (kiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir memeriahkan sambutan Maulidur Rasul di Alor Setar pada Jumaat.

Sultan Sallehuddin turut mengajak rakyat Kedah agar menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan utama dalam kehidupan seharian sama ada dalam membina peribadi, memimpin keluarga, memacu organisasi atau membangunkan negeri.

“Nilai-nilai kejujuran, amanah, kasih sayang, hormat-menghormati, tolak ansur dan keadilan perlu menjadi amalan dalam kehidupan seharian,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Menurut baginda, peristiwa Maulidur Rasul tidak seharusnya diraikan secara simbolik semata-mata, sebaliknya perlu dihayati melalui pengajaran sirah dan akhlak Nabi Muhammad SAW yang telah membuktikan kepimpinan adil, berakhlak luhur serta berjaya membina tamadun manusia.

“Nabi Muhammad SAW bukan sekadar utusan ALLAH SWT, Rasullullah SAW merupakan pemimpin yang berjaya membina tamadun dan peradaban manusia.

“Baginda memiliki akhlak yang luhur, kepimpinan adil, serta kasih sayang tidak berbelah bahagi terhadap umatnya,” titah Sultan Kedah.

Sultan Sallehuddin turut menzahirkan penghargaan atas usaha kerajaan negeri memperkukuh aspek pembangunan ekonomi, pendidikan, kebajikan dan sosial yang selari dengan pendekatan Rasulullah SAW membina masyarakat Madinah yang maju, adil dan berakhlak tinggi.

“Pembangunan yang bersifat seimbang antara rohani dan jasmani adalah sejajar dengan pendekatan Rasulullah SAW membina masyarakat Madinah.

“Beta menyeru agar semua pihak, sama ada sektor awam, swasta, pertubuhan masyarakat mahupun individu, berganding bahu menjayakan agenda pembangunan negeri, dengan semangat keikhlasan dan cinta kepada negeri tercinta ini,” titah baginda lagi.

Baginda juga mahu sambutan Maulidur Rasul menjadi titik mula kebangkitan semangat baharu untuk umat Islam Kedah kembali kepada nilai-nilai murni Islam dan istiqamah meneladani Rasullullah SAW dalam setiap aspek kehidupan.

Pada majlis tersebut, Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan Anugerah Khas Maulidur Rasul kepada Pegawai Divisyen Pembangunan Mualaf dan Dakwah Sosial, Lembaga Zakat Negeri Kedah, Mohd Naim Islam Abdullah.

Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Imam kepada Mokhtar Zakaria yang merupakan Imam Masjid Jamek Al-Ikram Kampung Tualang, Bukit Besar, Yan.

Masing-masing menerima hadiah saguhati RM7,000 beserta sijil anugerah dan hadiah iringan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!