Budaya perkauman sempit cetus bibit kebencian, rosak keamanan negara - Sultan Pahang

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan kegusaran terhadap budaya perkauman sempit yang kian menular kebelakangan ini.
Titah baginda, sikap sedemikian bukan sahaja memperdalam jurang prasangka, malah menumbuhkan bibit kebencian yang boleh merosakkan keamanan negara.
Baginda juga bertitah, terdapat segelintir pihak memanipulasi agama dan bangsa sebagai alat politik untuk meraih kuasa sama ada secara terang-terangan mahupun tersirat.
"Sikap melampau ini seolah menolak hak yang lain hingga menimbulkan rasa takut dan curiga dalam kalangan masyarakat majmuk," titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam titah diraja sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang 2025 di sini pada Jumaat.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Dalam titah itu, Al-Sultan Abdullah juga memandang berat terhadap cabaran semasa yang menguji kerukunan negara.
Titah baginda, sejak beberapa tahun kebelakangan ini isu-isu ummah dan perbalahan sosial yang awalnya tiada kaitan dengan agama atau bangsa terjerumus ke dalam kancah pertikaian agama dan kaum.
"Fenomena 3R (agama, raja dan kaum) kian meruncing sejak akhir-akhir ini, ibarat bara yang disiram minyak.
"Bagi orang Melayu, agama, raja dan bangsa satu kesatuan yang terjalin bagai jalinan anyaman sejadah dengan ketiga-tiganya bertaut menjadi nadi peradaban Islam di negara ini," titah baginda.
Menurut baginda, realiti negara ini yang dihuni masyarakat berbilang kaum dan agama menuntut kepada kebijaksanaan tinggi dalam mengurus kepelbagaian itu.
"Sekiranya kepelbagaian ini tidak diurus dengan adil, ia boleh menjadi retak yang menanti belah.
"Pada masa yang sama, taat dan setia kepada raja serta pemerintah adalah sendi utama yang menjamin keamanan negeri dan kemakmuran rakyat.
"Raja bukan sahaja lambang kedaulatan, bahkan payung menaungi segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama," titah baginda.
Justeru itu baginda menegaskan tidak harus ada sebarang suara yang cuba menyamai benih hasutan dengan menimbulkan keraguan sehingga mengeluarkan kenyataan tidak wajib mematuhi titah raja dan pemerintah.
"Fikrah sebegini racun yang akan merosakkan tali persaudaraan, mencarik keharmonian dan mencemar kestabilan yang sekian lama kita kecapi.
"Raja dan pemimpin adalah tonggak penyatuan rakyat justeru ketaatan ini bukan sekadar lahir dari adat dan tradisi, bahkan berakar daripada semangat perlembagaan negara yang menjadi asas kita hidup bersama dalam rukun dan damai," titah Al-Sultan Abdullah lagi.
Sementara itu, dalam titah baginda mengimbau sejarah Islam di mana Rasulullah SAW sendiri memimpin masyarakat Madinah yang berbilang agama dengan adil dan berhikmah.
"Piagam Madinah bukti baginda bukan sekadar pemimpin umat Islam tetapi pemelihara keadilan bagi semua kaum.
"Justeru saya menyeru para pemimpin, ulama, penguat kuasa dan rakyat jelata supaya menjunjung keadilan dalam segenap urusan kerana tanpa keadilan, negara akan berpecah; tanpa kasih sayang, masyarakat akan rapuh," titah baginda.
Menurut baginda lagi, Islam datang sebagai rahmat untuk semua bukan sekadar untuk satu bangsa atau kelompok.
"Marilah kita meneladani akhlak Rasulullah SAW yang memuliakan jiran, menghormati perbezaan dan memimpin dengan kasih sayang.
"Sambutan Maulidur Rasul kali ini hendaklah menjadi medan untuk memperbaharui tekad bahawa cinta kepada baginda Rasulullah SAW bukan sekadar selawat di bibir tetapi ketaatan dalam tindakan; bukan sekadar perarakan, tetapi penghayatan yang meresap ke jiwa," titahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

