'Kalau bukan sebab Abang Sabri' - Angeline Tan sebak terima Tokoh Maulidur Rasul

SHAH ALAM - Pelakon Ardini Angeline Tan yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul (Kategori Saudara Baru Cemerlang) 2025 berikrar untuk terus menyebarkan mesej Islam yang sebenar kepada masyarakat, khususnya bukan Islam.
Menurut Angeline, beliau bersyukur dan amat menghargai anugerah yang disifatkan paling berharga dalam perjalanan hidupnya selepas memeluk Islam.
"Sejak memeluk Islam, saya pernah kata, saya bertekad nak sebarkan dan menyampaikan erti Islam yang betul kepada masyarakat bukan Islam supaya mereka faham. Bila tidak salah faham, negara kita akan lebih aman dan damai.
"Bila ramai yang tahu erti Islam, mungkin satu hari nanti mereka juga akan jadi seperti saya,” katanya selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, pada Sabtu.
Selain Angeline, pencipta kandungan digital dan usahawan, Khairul Aming juga turut menerima Anugerah Maulidur Rasul kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya pada majlis tersebut.
Majlis penuh barakah itu menyaksikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan anugerah kepada semua penerima.
Angeline yang popular menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu menambah, anugerah dan pengiktirafan berkenaan menjadi pendorong untuk beliau meneruskan perjalanan dakwah yang panjang.
"Ini betul-betul beri saya semangat...sejak saya memeluk Islam, itu adalah misi pertama saya.
"Saya harap ALLAH SWT terus beri saya lebih banyak peluang untuk membuka ruang dan jalan untuk capai apa yang saya nak selama ini,” katanya.
Namun ujar beliau, anugerah tersebut bukan sekadar miliknya, sebaliknya juga buat suaminya, pelakon dan pengarah Sabri Yunus, selain keluarga serta semua yang pernah mendoakan kebaikannya.
"Kalau bukan sebab Abang Sabri, saya tidak dapat menikmati Islam.
"Jadi anugerah ini untuk beliau, keluarga saya dan semua yang selalu doakan saya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
