Dari pengasas Gojek ke menteri reformasi, Nadiem Makarim kini jadi suspek rasuah

JAKARTA – Bekas Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Nadiem Anwar Makarim, kini berdepan kejatuhan terbesar dalam kerjaya politik serta perniagaannya selepas ditahan pihak pendakwa raya berhubung dakwaan rasuah projek perolehan komputer riba bernilai berbilion rupiah.
Nadiem, 41, yang sebelum ini dikenali sebagai tokoh teknologi dan pengasas Gojek, ditahan di pejabat Jabatan Peguam Negara di Jakarta pada Khamis, sekali gus menamatkan imejnya sebagai ikon transformasi digital negara itu.
Beliau menubuhkan Gojek pada tahun 2010 ketika infrastruktur digital Indonesia masih terbatas.
Dengan sokongan pelabur antarabangsa, syarikat itu berkembang pesat sehingga menjadi “decacorn” bernilai lebih AS$10 bilion (sekitar RM42.3 bilion) pada 2019.
Kejayaan itu menarik perhatian Presiden Joko Widodo (Jokowi) yang melantik beliau sebagai Menteri Pendidikan dan Kebudayaan pada 2019, sebelum portfolio kementeriannya diperluas pada 2021 untuk merangkumi penyelidikan dan teknologi.
Sebagai menteri, Nadiem memperkenalkan Kurikulum Merdeka yang menekankan kreativiti, minat pelajar serta pembelajaran fleksibel termasuk kelas digital. Ia turut memansuhkan peperiksaan kebangsaan dan sistem aliran sekolah menengah.
Bagaimanapun, reformasi itu dikritik kerana dianggap melemahkan disiplin akademik, memperluas jurang teknologi antara sekolah bandar dan luar bandar, serta membebankan guru yang tidak bersedia.
Di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto, pihak pendakwa membuka siasatan terhadap program perolehan 1.2 juta Chromebook bernilai 9.3 trilion rupiah (AS$600 juta/RM2.697 bilion) yang dijalankan antara 2020 hingga 2022 ketika Nadiem menerajui kementerian.
Kebanyakan peranti itu tidak dapat digunakan di kawasan pedalaman kerana kekurangan capaian internet stabil, menyebabkan kerugian negara dianggarkan sekitar 2 trilion rupiah (AS$130 juta/RM580 juta).
Menurut Pengarah Siasatan Rasuah di Jabatan Peguam Negara, Nurcahyo Jungkung Madyo, Google pernah menawarkan Chromebook lebih awal tetapi ditolak selepas percubaan pada 2019 gagal di kawasan luar bandar. Namun, Nadiem tetap menjemput Google menyertai program perolehan laptop kementeriannya.
Selepas tiga kali dipanggil untuk memberi keterangan, Nadiem akhirnya dinamakan sebagai suspek dan ditahan pada 4 September 2025.
Gambar beliau memakai vest tahanan berwarna merah jambu dan bergari pantas tular di media sosial Indonesia.
Dilahirkan di Singapura pada 1984, Nadiem ialah anak bongsu kepada peguam terkenal Nono Anwar Makarim.
Beliau menamatkan persekolahan di United World College of Southeast Asia sebelum melanjutkan pengajian di Brown University, London School of Economics, dan kemudian memperoleh MBA di Harvard Business School.
Sebelum menubuhkan Gojek, beliau pernah bekerja di McKinsey & Company, menjadi pengasas bersama Zalora Indonesia serta Ketua Inovasi di syarikat pembayaran digital Kartuku.
Kini, daripada seorang pengasas startup berjaya dan reformis muda dalam kabinet Jokowi, Nadiem berdepan masa depan suram sebagai suspek rasuah berprofil tinggi.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

