Percikan kecil menjadi api

Keadaan masih tidak menentu di Indonesia susulan siri protes yang berlaku hampir di kebanyakan wilayah.Foto AFP
Keadaan masih tidak menentu di Indonesia susulan siri protes yang berlaku hampir di kebanyakan wilayah.Foto AFP
A
A
A

“SEDIKIT api, kalau dibiarkan akan membakar gunung. Sedikit fitnah, kalau disebar boleh membakar sebuah negara.”

Peribahasa itu bukan sekadar kata indah. Ia kini menjadi realiti getir sedang menimpa Indonesia. Bermula sebagai ‘sambutan’ santai ahli dewan berjoget selepas sidang Parlimen, bertukar menjadi rusuhan besar-besaran, kematian tragis dan pembakaran gedung. Dalam sekelip mata, percikan kecil menyala menjadi lahar membakar kota.

Pada awal Ogos 2025, sebuah video tular memaparkan wakil rakyat berjoget riang dengan kapsyen sinis: “Joget sebab gaji naik.” Hakikatnya bukan gaji tetapi elaun perumahan sebanyak Rp50 juta sebulan.

Namun, bagi rakyat yang hidup dengan gaji minimum Rp3 juta, angka Rp50 juta ibarat penghinaan. Ditambah pula kenaikan cukai tanah 250 peratus di Jawa Tengah, kemarahan rakyat meletup. Joget itu jadi percikan, cukai jadi bahan bakar.

Ketika protes merebak, seorang penghantar makanan muda, Affan Kurniawan dirempuh kenderaan polis. Nyawanya terkorban tetapi namanya bangkit sebagai simbol perlawanan rakyat kecil. Gedung-gedung DPRD mula dibakar, rumah selebriti-politik seperti Uya Kuya dan Nafa Urbach dijarah.

Naratif kebencian di media sosial, ditambah hoaks dan deepfake, menukar fitnah menjadi industri menguntungkan penghasut. Indonesia bergolak kerana jurang sosial dan politik kebencian dibiarkan berakar.

Apakah Malaysia kebal? Jawapannya tidak. Kita juga ada percikan kecil sedang menyala. Isu pengurusan Tabung Haji, perdebatan Akta Perolehan, Rang Undang-undang Pembangunan Semula Bandar, malah kes buli tragis seperti menimpa Zara Qairina – semuanya berpotensi dimanipulasi.

Bantuan RM100 pun boleh diputar belit menjadi isu 3R (agama, kaum, raja). Itulah taktik penghasut, menjadikan usaha murni kerajaan kepada simbol ketidakadilan, lalu menanam rasa benci terhadap kerajaan.

Lihat bagaimana naratif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dimainkan. Bantuan sepatutnya membantu rakyat bawahan dipropagandakan seolah-olah hanya menguntungkan syarikat besar dan peniaga kaum tertentu.

Artikel Berkaitan:

Hakikatnya, semua peniaga tanpa mengira kaum menerima limpahan ekonomi apabila kuasa beli rakyat meningkat. Tetapi dalam tangan penghasut, fakta berubah menjadi fitnah, dan fitnah menjadi bahan api kebencian.

Bahaya sebenar bukan kepada isu itu sendiri tetapi hilangnya kepercayaan rakyat kepada sistem. Apabila rakyat percaya kerajaan tidak lagi adil, mereka tidak menunggu pilihan raya. Mereka bangkit di jalanan. Inilah terjadi di Jakarta, Makassar dan Solo. Jangan fikir ia tidak boleh berlaku di Kuala Lumpur, Johor Bahru atau Kota Kinabalu.

Politik kebencian bukan sekadar retorik panas, ia racun menular senyap. Ia bermula dengan meme sinis, status tular atau video editan, kemudian berubah menjadi gelombang protes. Di era digital, kebohongan boleh menewaskan kebenaran jika dibiarkan tanpa jawapan.

Isu perkauman dan agama pula menjadi kad paling mudah dimainkan. Ia mungkin menguntungkan segelintir ahli politik dalam jangka pendek tetapi akhirnya menghancurkan negara. Keharmonian kita hari ini hasil titik peluh generasi terdahulu, janganlah dikorbankan hanya kerana nafsu kuasa.

Apa mesti dilakukan? Pertama, kerajaan tidak boleh menangguh atau menafikan isu sensitif. Dalam dunia digital, ruang kosong komunikasi kerajaan akan segera diisi oleh penghasut. Setiap krisis mesti dijawab segera dengan naratif jelas dan meyakinkan.

Kedua, konsep Malaysia Madani mesti diterjemahkan dalam bentuk nyata, bukan sekadar slogan. Rakyat mahu melihat pemimpin yang bukan hanya memberi jawapan teknikal tetapi benar-benar menyantuni mereka. Program turun padang, dasar mesra rakyat dan komunikasi berkesan ialah kunci menghapus jurang persepsi.

Ketiga, media mesti bertanggungjawab. Jangan hanya mengejar sensasi hingga menjadi penyambung fitnah. Rakyat juga mesti matang menapis maklumat. Jangan menyerahkan akal kepada manipulasi maya. Bijak berfikir benteng pertama melawan politik kebencian.

Kisah Indonesia ialah amaran. Malaysia masih ada peluang mengelak jalan yang sama tetapi ia menuntut keberanian kolektif yang menolak politik kebencian, memperkukuh keadilan dan mengutamakan keharmonian rakyat.

Harmoni ialah cahaya menerangi rumah bangsa ini. Tetapi jika kita leka, percikan kecil akan membakar seluruh negara. Jangan biarkan generasi akan datang mewarisi abu kerana kita gagal menjaga api.

* Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!