Pingat perak Kejohanan Dunia pembakar semangat Pearly-Thinaah

“Kami bangga kerana mampu menempatkan diri di pentas tertinggi dunia.”
Itu reaksi beregu badminton wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah, selepas muncul naib juara Kejohanan Dunia 2025 yang melabuhkan tirainya di Paris, Perancis.
Pasangan ranking kedua dunia itu tampil bermaruah meskipun terpaksa akur tunduk kepada beregu utama China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, dalam pertarungan epik tiga set, 14-21, 22-20, 17-21 yang berlangsung selama 83 minit di Arena Adidas.
Pearly menegaskan kejayaan membawa pulang pingat perak itu adalah bukti kerja keras mereka tidak sia-sia, sekali gus menjadi sejarah baharu buat beregu wanita negara.
“Kami telah bekerja keras untuk medal ini dan tiada penyesalan kerana benar-benar berikan segalanya.
“Masih ada perjalanan panjang yang menanti dan kami tidak akan berhenti di sini. Kami akan terus berjuang,” kata Pearly.
Dalam pada itu, Thinaah mengakui mereka berpuas hati dengan pencapaian tersebut walaupun gagal menghadiahkan emas sulung buat negara.
“Kami juga mempunyai sasaran tersendiri. Tiada siapa mahu kalah, tetapi inilah proses yang harus kami lalui.
“Terima kasih kepada jurulatih dan pasangan saya kerana memberikan segalanya di gelanggang. Kami akan kembali dengan lebih kuat pada kejohanan seterusnya,” jelasnya.
Thinaah turut berharap pencapaian bersejarah itu menjadi inspirasi kepada generasi baharu, sekali gus melonjakkan keyakinan beregu wanita negara di pentas dunia.
“Menang medal ini sesuatu yang besar. Kami harap ia membuka mata ramai atlet wanita di luar sana bahawa dengan kerja keras dan menikmati proses, apa sahaja boleh dicapai,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
