KPS Berhad Act-I Jelajah Anti Rasuah 2.0 berakhir di SMK Subang Utama

Suzila (tiga dari kiri) dan Nurhayati (lima dari kanan) bersama warga pendidik dan pelajar SMK Subang Utama, Subang Jaya.
Suzila (tiga dari kiri) dan Nurhayati (lima dari kanan) bersama warga pendidik dan pelajar SMK Subang Utama, Subang Jaya.
A
A
A

SUBANG JAYA – Program KPS Berhad Act-I Jelajah Anti Rasuah 2.0 anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) dengan kerjasama Rasuah Busters melabuhkan tirai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Utama, di sini pada Khamis.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kewangan dan Perkhidmatan Korporat KPS Berhad, Suzila Khairuddin berkata, inisiatif itu yang dikenali sebagai Act-I Call to Integrity Program Jelajah Anti Rasuah 2.0 wajar diteruskan kerana sambutan yang diterima daripada sekolah amat menggalakkan.

“Program ini adalah satu inisiatif yang baik berdasarkan sambutan sangat baik daripada semua sekolah terlibat pada tahun ini. Ia wajar diteruskan bagi membentuk generasi bebas rasuah.

"Tahun lepas, ia julung kali diadakan dengan lima sekolah di Selangor sahaja. Tahun ini, kita perluaskan sayap ke Pulau Pinang, Johor dan Selangor, melibatkan sembilan sekolah utama keseluruhannya,” ujarnya.

Menurut Suzila, program tahun ini disertai seramai 5,267 pelajar daripada sembilan sekolah, dengan penyertaan aktif anak syarikat KPS Berhad di Pulau Pinang dan Johor yang turut turun padang menjayakan penganjuran.

Beliau berkata, usaha itu tidak hanya bersifat kempen sementara, sebaliknya menjadi satu gerakan berterusan untuk menyemai integriti dan menolak rasuah dalam kalangan generasi muda.

“Inisiatif ini membuktikan mesej integriti boleh disampaikan dengan cara lebih integratif dan mudah difahami pelajar. Program ini juga berjaya mengukuhkan hubungan KPS Berhad dengan komuniti sekolah serta membina jati diri pelajar sebagai pemimpin berintegriti pada masa depan,” ujarnya pada program dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia – Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.

Hadir sama, Penolong Pengurus Undang-Undang dan Pematuhan, KPS Berhad, Nur Raihan Jasmani, Pengurus Komunikasi Strategik, KPS Berhad, Akil Mansiz, Penolong Pengurus CSR dan Kelestarian, KPS Berhad, Muhd Farhan Zin serta Ketua Projek KPS Berhad Act-I Jelajah Antirasuah 2.0, Shareen Mohd Anayath.

Sementara itu, Nurhayati berkata, kejayaan penganjuran siri jelajah kali ini membuktikan hubungan strategik tiga penjuru antara sektor korporat, NGO dan masyarakat awam mampu memperkukuh gerakan membanteras rasuah di peringkat akar umbi.

Artikel Berkaitan:

“Program ini adalah satu perkembangan yang baik kerana ia manifestasi kerjasama korporat, NGO dan pihak sekolah untuk melaksanakan misi menyelamatkan Malaysia daripada rasuah.

"Paling penting, selepas penyampaian mesej, kita dapat interaksi dua hala dengan pelajar dan mendengar suara hati mereka. Ia memberi gambaran sebenar apa yang difahami dan diharapkan oleh generasi muda,” ujarnya.

Beliau menambah, perjuangan membina negara bebas rasuah perlu berteraskan prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yang menekankan keseimbangan pembangunan jasmani, intelektual dan spiritual.

“Walau negara mengejar pendidikan berorientasikan industri, nilai asas integriti dan amanah perlu terus dihayati. Dengan asas ini, pelajar akan lebih kuat menghadapi cabaran global pada masa depan,” tambahnya.

Program jelajah tahun ini berlangsung di sembilan lokasi iaitu dua sekolah di Pulau Pinang, dua sekolah di Johor dan lima sekolah di Selangor, dengan SMK Subang Utama menjadi lokasi penutup pada tahun ini.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!