The Voice of Hind Rajab raih tepukan gemuruh selama 23 minit

VENICE - Sebuah filem baharu yang menyayat hati tentang kisah kanak-kanak Gaza yang menjadi korban keganasan Zionis pada tahun lalu menerima tepukan gemuruh selama 23 minit selepas tayangan perdana di Festival Filem Venice pada Rabu.
Drama dokumentari, The Voice of Hind Rajab itu berkisarkan tentang kejadian sebenar pada Januari 2024 yang turut menyaksikan ramai penonton dan petugas media menangis teresak-esak.
Pengarah, Kaouther Ben Hania bersama barisan pelakon yang berpakaian hitam juga menitiskan air mata disambut sorakan 'Bebaskan Palestin' di panggung utama yang berkapasiti 1,032 penonton tersebut.
"Kezaliman yang berlaku di Gaza sangat tidak berperikemanusiaan. Itulah sebabnya, panggung wayang, seni dan apa jua platform untuk mendedahkan kebenaran serta mewakili suara mereka," ujar Ben Hania.
Filem itu mengisahkan Hind Rajab Hamada, 6, menjadi sasaran bedilan Israel ketika melarikan diri dari Bandar Gaza bersama enam ahli keluarganya.
Panggilan kecemasan dibuat satu-satunya mangsa terselamat yang direkodkan dan kemudiannya dikongsikan secara meluas telah mencetuskan kemarahan komuniti antarabangsa.
The Voice of Hind Rajab turut mempunyai nama besar yang dilampirkan sebagai penerbit eksekutif seperti aktor Joaquin Phoenix, Brad Pitt dan pengarah yang pernah memenangi Oscar, Jonathan Glazer.
Tayangan perdana itu berlangsung pada hari sama tentera Israel mengancam kira-kira sejuta penduduk Palestin akan diusir di bawah operasi ketenteraan berskala besar di Bandar Gaza. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

