Paus Francis wasiatkan kenderaan khas miliknya buat kanak-kanak Gaza

VATICAN CITY - Salah sebuah kenderaan khas Paus Francis akan diubah suai menjadi klinik kesihatan bergerak buat kanak-kanak Palestin di Genting Gaza.
Rangkaian media rasmi Vatican pada Ahad memaklumkan ia bertujuan untuk memenuhi salah satu wasiat Paus Francis yang meninggal dunia pada bulan lalu.
"Beliau mengamanahkan inisiatif itu kepada agensi bantuan Katolik, beberapa bulan sebelum pemergiannya. Ia sedikit sebanyak dapat membantu sistem kesihatan di wilayah itu yang semakin kritikal akibat perang genosid berterusan," ujar Setiausaha Agung Caritas Sweden, Peter Brune yang menyokong projek tersebut.
Kenderaan itu pernah digunakan Paus Francis ketika beliau mengadakan lawatan ke wilayah tersebut pada 2014 dan akan dilengkapi dengan peralatan perubatan diagnostik serta instrumen kecemasan.
"Ia bukan sekadar klinik bergerak biasa. Tetapi, mesej jelas bahawa dunia tidak pernah lupakan tentang nasib kanak-kanak Gaza," jelas Brune lagi.
Sejak Perang Gaza meletus, Paus Francis sentiasa mengikuti perkembangan penduduk Gaza dan mengutuk keras kekejaman berterusan ke atas mereka. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

