Kanak-kanak Gaza bergelut antara hidup dan mati

Hampir 290,000 kanak-kanak Palestin 'di ambang kematian' kerana Israel terus menggunakan kelaparan sebagai senjata perang.
Hampir 290,000 kanak-kanak Palestin 'di ambang kematian' kerana Israel terus menggunakan kelaparan sebagai senjata perang.
A
A
A

GENTING GAZA - Hampir 290,000 kanak-kanak Palestin 'di ambang kematian' kerana Israel terus menggunakan kelaparan sebagai senjata perang.

Pejabat Media di Genting Gaza pada Ahad mendedahkan lebih 70,000 budak turut dirawat di hospital kerana mengalami kekurangan zat yang teruk.

“Komuniti antarabangsa tetap membisu terhadap jenayah kejam dilakukan rejim Tel Aviv. Di bawah sekatan sistematik ini, lebih 3,500 kanak-kanak di bawah usia lima tahun juga berisiko maut akibat kelaparan,” ujarnya.

Golongan kanak-kanak paling terkesan dengan tindakan Zionis yang menggunakan kelaparan sebagai senjata perang.
Golongan kanak-kanak paling terkesan dengan tindakan Zionis yang menggunakan kelaparan sebagai senjata perang.

Menurutnya, Israel berterusan menghalang penghantaran susu formula, makanan tambahan dan segala bentuk bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan.

“Sekatan kejam itu menyebabkan kira-kira 1.1 juta kanak-kanak berdepan kesukaran memenuhi keperluan nutrisi minimum untuk bertahan hidup.

“Rejim Tel Aviv sengaja melakukan kezaliman itu sebagai sebahagian daripada rancangan jahat mereka untuk menghapuskan penduduk Gaza,” tegas pejabat media berkenaan.

Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Oxfam International memberi amaran situasi kemanusiaan di Gaza dijangka semakin merosot.

Artikel Berkaitan:

Mahmoud Alsaqqa yang mengetuai program keselamatan makanan Oxfam di enklaf tersebut memberitahu mereka telah berulang kali menekankan isu tersebut yang akan membawa kepada malapetaka tidak dapat dipulihkan terutamanya kepada golongan warga emas, wanita dan kanak-kanak.

“Komuniti antarabangsa seakan-akan bersekongkol dengan tindakan Israel yang menjadikan kelaparan sebagai senjata perang.

“Tiada langsung tindakan segera diambil. Mereka kini mempunyai pilihan sama ada hanya mahu menyaksikan kekejaman berterusan ke atas penduduk Gaza atau bertindak sekarang,” katanya.

Gesa buka laluan maritim

Israel telah menyekat akses penghantaran bekalan penting termasuk makanan dan ubat-ubatan selama dua bulan yang merupakan tempoh paling lama sejak perang genosid itu tercetus pada Oktober 2023.

Sebahagian bayi yang tidak mendapat nutrisi secukupnya dirawat di hospital.
Sebahagian bayi yang tidak mendapat nutrisi secukupnya dirawat di hospital.

Sejak bulan lalu, agensi bantuan memberi amaran tindak balas kemanusiaan di Gaza kini 'di ambang keruntuhan secara total' dek sekatan ketat tersebut yang dilaksanakan setelah perjanjian gencatan senjata fasa pertama berakhir pada awal Mac.

Sementara itu, Kumpulan hak asasi manusia Palestin, al-Haq menggesa negara antarabangsa membuka laluan maritim untuk misi flotila kemanusiaan ke Gaza.

Gesaan itu dibuat sehari selepas kapal Conscience di bawah gabungan Freedom Flotilla menjadi sasaran dron Zionis di luar perairan Malta.

Kanak-kanak Palestin terpaksa mengikat perut kerana bekalan makanan yang semakin kehabisan di Gaza.
Kanak-kanak Palestin terpaksa mengikat perut kerana bekalan makanan yang semakin kehabisan di Gaza.

“Suruhanjaya Siasatan dan Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) wajar menyiasat insiden serangan ganas tersebut. Langkah embargo senjata dan sekatan ekonomi perlu dikenakan ke atas Tel Aviv.

“Israel juga sepatutnya disingkirkan daripada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) kerana pelanggaran berterusan piagam badan dunia tersebut,” ujar al-Haq lagi.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Zionis, Israel Katz sendiri pernah melarang sebarang penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan dia dengan angkuh mengakui makanan sengaja dijadikan sebagai alat untuk memberi tekanan kepada Hamas. - Agensi

Info:

>Sekurang-kurangnya 23 kanak-kanak Palestin meninggal dunia akibat malnutrisi dan dehidrasi sejak beberapa minggu lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!