MARA belum terima LOD kes buang pelajar MRSM terlibat buli - Asyraf Wajdi

MELAKA – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan pihaknya belum menerima sebarang tindakan undang-undang berhubung keputusan membuang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang terbabit dalam kes buli sekali gus mempertahankan tindakan itu dibuat berlandaskan peraturan sedia ada.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sehingga kini beliau tidak menerima sebarang letter of demand (LOD) daripada ibu bapa pelajar terbabit seperti yang digembar-gemburkan.
“Saya tidak menerima apa-apa lagi LOD. Bila ugutan itu dibuat, saya sendiri tertanya-tanya atas asas apa mereka mahu saman kerana tindakan yang kita ambil adalah berpandukan peraturan MARA.
“Sebenarnya kita bukan mahkamah untuk menentukan bersalah atau tidak, namun prinsip saya jelas sejak awal, setiap tindakan mesti berlandaskan peraturan dan amanah yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program bual bicara dan menyempurnakan Majlis Peluncuran Halal Learning Provider di Kolej Profesional MARA Bandar Melaka, di sini, pada Khamis.
Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, inisiatif ‘YouTouchYouGo’ yang diperkenalkannya membuktikan keseriusan kerajaan membendung isu buli di institusi pendidikan di bawah agensi itu.
Ujarnya, setiap pelajar yang memasuki MRSM perlu menandatangani aku janji dan pihaknya tidak boleh menunggu sehingga berlaku kehilangan nyawa barulah hendak bertindak.
Katanya, keputusan yang dibuat berlandaskan prinsip keadilan tanpa mengira darjat, pangkat atau latar belakang keluarga seseorang pelajar yang terlibat dalam perbuatan buli.
“Ada juga dalam kalangan mereka yang berpengaruh cuba untuk membuat rayuan dan saya tidak melayaninya kerana prinsip ini kita telah jelaskan dari awal,” katanya lagi.
Sinar Harian pada 27 Jun lalu melaporkan enam pelajar MRSM di sebuah daerah di Terengganu dibuang serta-merta selepas didapati terlibat dalam kejadian buli fizikal terhadap seorang pelajar Tingkatan Dua.
Akhbar itu juga melaporkan enam pelajar Tingkatan Lima di sebuah MRSM di Melaka digantung dan dicadangkan untuk dibuang sekolah selepas didakwa terlibat dalam kejadian buli pada 26 Julai lalu.
Asyraf berkata, beliau menerima banyak makluman daripada pengikut media sosialnya berhubung kes buli berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

