Kerajaan perlu tubuh agensi khusus selenggara, naik taraf PPR - Noh Omar

SHAH ALAM - Kerajaan dicadang agar menubuhkan satu agensi khusus iaitu Perbadanan Penyelenggaraan Perumahan Awam (3P) bagi memastikan kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) dapat diselenggara secara berkala dan lebih tersusun.
Bekas Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, inisiatif itu pernah dicadangkan semasa beliau memegang jawatan menteri, namun tidak sempat dilaksanakan.
Menurutnya, kini tiba masanya kerajaan meneruskan usaha tersebut sebagai langkah meningkatkan kualiti perumahan PPR.
“Semasa menjadi Menteri KPKT pada tahun 2017, saya perkenalkan skim ‘Rent to Own’. Mereka hanya perlu bayar RM150 sebulan secara konsisten dan apabila cukup tempoh, rumah diserahkan kepada mereka. Skim ini telah dilaksanakan semasa saya di KPKT.
“Langkah seterusnya adalah memastikan penyelenggaraan rumah tersebut dapat dilakukan secara berpusat dan sistematik. Sebab itu saya cadangkan penubuhan 3P, namun tidak sempat dilaksanakan kerana tempoh saya menjadi menteri hanya sekitar dua tahun sebelum Parlimen dibubarkan.
“Kalau menteri sekarang mahu sambung, teruskanlah. Lif rosak, bumbung bocor, cat bangunan lusuh, dan parkir yang tidak mencukupi memang masalah utama PPR. Semua ini perlukan perhatian,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Noh, agensi 3P berperanan mengutip sewa rumah, yuran penyelenggaraan dan mendapatkan dana daripada kerajaan bagi memastikan penyelenggaraan bangunan berkenaan tidak terbantut.
Jelasnya, bangunan PPR tidak perlu dirobohkan, sebaliknya dinaik taraf agar terus relevan dan selesa untuk didiami.
“Kerajaan beri dana RM500 juta, duit sewa dan penyelenggaraan biar 3P yang uruskan. Kalau masalah di luar bandar kerajaan boleh bantu melalui pelbagai agensi, kenapa tidak di bandar?
“Kita mesti teruskan dasar lama yang telah dimulakan oleh pemimpin terdahulu iaitu membawa masyarakat Melayu dari luar bandar untuk tinggal di bandar.
“Langkah pertama dahulu ialah menempatkan mereka di kawasan setinggan. Langkah kedua, kerajaan bina rumah flat kos rendah seperti PPR. Malangnya, penyelenggaraan dan pembangunan semula kawasan ini tidak diberi perhatian sewajarnya,” jelasnya.
Dalam masa sama beliau turut mencadangkan agar kawasan-kawasan perumahan awam dibangunkan semula.
“Sebagai contoh, di sesetengah kawasan masih terdapat tanah kosong yang boleh dimanfaatkan untuk membina bangunan tambahan seperti kompleks tempat letak kereta bertingkat dan premis perniagaan yang lebih teratur.
“Ini bukan sahaja menyelesaikan masalah kesesakan, malah dapat meningkatkan nilai kawasan tersebut serta memberi peluang ekonomi kepada penduduk setempat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

