JKM terus pantau keluarga guru wanita dikelar suami

Rozita (kiri) merasmikan Projek Akuaponik Pintar Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Teluk Bahang pada Rabu.
Rozita (kiri) merasmikan Projek Akuaponik Pintar Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Teluk Bahang pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang akan terus memantau keadaan keluarga guru wanita yang dikelar suaminya bagi memberikan perkhidmatan kaunseling kepada mangsa.

Pengarahnya, Rozita Ibrahim berkata, buat masa ini keluarga mangsa memohon sedikit ruang sebelum menerima sesi kaunseling kerana masih trauma dengan kejadian yang berlaku.

Menurutnya, JKM sudah mengunjungi keluarga terbabit dan turut memaklumkan perkara itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan.

“Kami sudah turun padang namun keluarga mangsa masih dalam keadaan trauma. Mereka bukan menolak sepenuhnya hasrat JKM untuk memberi kaunseling, tetapi buat masa ini mereka memerlukan ruang untuk menenangkan diri.

“Kaunseling merupakan proses berterusan, tetapi ia tidak boleh dipaksa jika pihak terlibat belum bersedia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Projek Akuaponik Pintar Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Teluk Bahang, di sini pada Rabu.

Tambahnya, JKM memahami tekanan yang dihadapi keluarga itu selepas insiden berkenaan.

“Buat masa ini, JKM menghormati permintaan keluarga berkenaan dan akan memberi ruang yang diperlukan.

“Ketika kunjungan kami pada hari kedua selepas kejadian, keluarga masih belum bersedia,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang guru wanita cedera di leher akibat dikelar suaminya sebelum lelaki itu turut mengelar dirinya sehingga cedera parah dalam kejadian di Taman Tunas, Sungai Ara, awal pagi Rabu lalu.

Artikel Berkaitan:

Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu disedari ibu mangsa selepas terdengar jeritan anaknya yang berada di bilik tingkat atas rumah teres dua tingkat berkenaan.

Ibu mangsa yang bergegas naik ke tingkat atas mendapati menantunya sedang menindih anaknya (isteri suspek) sebelum bertindak menyelamatkan keadaan.

Akibat insiden itu, guru wanita berkenaan cedera di leher namun dilaporkan stabil, manakala suaminya yang juga seorang guru berada dalam keadaan kritikal akibat kecederaan parah di leher serta pergelangan tangan kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!