Tiada isu pertukaran dibincang, JPNPP fokus sokong guru mangsa serangan

Laporan Sinar Harian pada 27 Ogos 2025. Foto kecil: Mohammad Dziauddin
Laporan Sinar Harian pada 27 Ogos 2025. Foto kecil: Mohammad Dziauddin
A
A
A

GEORGETOWN – Isu pertukaran seorang guru wanita yang menjadi mangsa serangan suami tidak dibincangkan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).

Pengarah JPNPP, Mohammad Dziauddin Mat Saad berkata, tumpuan utama jabatan ketika ini adalah memastikan guru berkenaan mendapat bimbingan serta sokongan sewajarnya untuk kembali berkhidmat seperti biasa.

Beliau menjelaskan, guru terbabit kini masih dalam cuti sakit sehingga Selasa depan dan akan dirujuk semula kepada doktor bagi membuka balutan serta menilai sama ada cuti tambahan diperlukan bergantung kepada tahap kesihatan.

Menurutnya, beberapa bentuk bantuan turut disalurkan bagi menyokong kebajikan dan proses pemulihan guru tersebut.

“Khidmat kaunseling diberikan melalui kerjasama Kaunselor Organisasi di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Timur Laut dan JPNPP.

“Kunjungan pertama telah diadakan minggu lalu selepas guru berkenaan serta keluarganya bersedia menerima lawatan tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Selain itu, jelasnya, JPN Pulau Pinang turut membimbing pihak pentadbiran sekolah untuk menguruskan kebajikan guru terbabit termasuk dari segi cuti rehat khas sekiranya diperlukan atau langkah lain yang boleh membantu beliau melalui fasa pemulihan diri.

“Usaha ini penting supaya guru berkenaan dapat kembali bertugas dalam keadaan lebih baik dan terus memberi khidmat seperti biasa,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang guru wanita cedera di leher akibat dikelar suaminya sebelum lelaki itu turut mengelar dirinya sehingga cedera parah dalam kejadian di Taman Tunas, Sungai Ara, awal pagi Rabu lalu.

Artikel Berkaitan:

Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu disedari ibu mangsa selepas terdengar jeritan anaknya yang berada di bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat berkenaan.

Ibu mangsa yang bergegas ke tingkat atas mendapati menantunya sedang menindih anaknya (isteri suspek) sebelum bertindak menyelamatkan keadaan.

Akibat insiden itu, guru wanita berkenaan cedera di leher namun dilaporkan stabil, manakala suaminya yang juga seorang guru berada dalam keadaan kritikal akibat kecederaan parah di leher serta pergelangan tangan kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!