Sindiket guna khidmat kurier hantar dadah ke Sabah, Sarawak

KOTA BHARU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan sindiket dadah kini mula menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedarkan bahan terlarang itu sehingga ke Sabah dan Sarawak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengakui terdapat peningkatan penggunaan perkhidmatan kurier berdasarkan hasil tangkapan yang berjaya dilakukan pihaknya sebelum ini.
“Kurier merupakan salah satu modus operandi yang digunakan sindiket sekarang.
“Kita percaya ada juga penghantaran dari Kelantan ke Sabah atau Sarawak menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.
Menurutnya, polis akan menjalin kerjasama dengan syarikat kurier bagi memperketatkan prosedur.
Ujarnya, tindakan itu bertujuan mengelakkan perkhidmatan tersebut daripada disalahgunakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

