SKMM siasat hantaran palsu berunsur perkauman berkaitan insiden di Ipoh

SKMM siasat ADUN Manjoi berhubung hantaran palsu berunsur perkauman di media sosial berkaitan sambutan Hari Kebangsaan Perak. - Gambar hiasan
SKMM siasat ADUN Manjoi berhubung hantaran palsu berunsur perkauman di media sosial berkaitan sambutan Hari Kebangsaan Perak. - Gambar hiasan
A
A
A

CYBERJAYA -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menjalankan siasatan dan mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Mohd Hafez Sabri berhubung hantaran palsu berunsur perkauman di media sosial.

Menurut kenyataan SKMM hari ini, siasatan itu susulan hantaran yang dibuat mengenai insiden seorang wanita menaiki pentas semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak di Ipoh, baru-baru ini.

"Sesi rakaman keterangan dan siasatan lanjut dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan," menurut kenyataan itu.

SKMM memaklumkan hantaran terbabit adalah tidak benar dan berpotensi menimbulkan ketegangan kaum serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

"Penyebaran kandungan palsu berunsur perkauman merupakan perbuatan serius yang boleh mengancam keharmonian dan ketenteraman awam.

"Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial," menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!