[VIDEO] Letupan kejutkan penduduk, tiga kereta hangus kebakaran awal pagi

A
A
A

ALOR GAJAH – Seorang pembantu kantin tidak menyangka bunyi letupan yang mengejutkannya daripada tidur berpunca daripada kebakaran tiga kereta milik jirannya di Kampung Beringin, di sini awal pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, tiga kereta jenis Honda City, Toyota Vios dan Perodua Myvi yang diparkir di hadapan deretan rumah sewa musnah 100 peratus.

Ibu kepada enam anak, Easah Ahmad, 55, berkata, dia segera mengejutkan dua anaknya yang sedang tidur selepas terlihat api marak pada kenderaan jiran.

Tiga buah kenderaan dipercayai terbakar secara tiba-tiba di hadapan rumah penduduk. Gambar kecil: Easah
Tiga buah kenderaan dipercayai terbakar secara tiba-tiba di hadapan rumah penduduk. Gambar kecil: Easah

“Saya sedang tidur di bilik depan, tiba-tiba terdengar bunyi letupan dan melihat api marak di depan rumah sebelum mengejutkan anak dan jiran sebelah rumah.

“Risau waktu itu sebab ada orang awam yang berhenti di tepi jalan ternampak percikan api pada bahagian bumbung rumah. Kami anak-beranak keluar untuk menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba tiba,” katanya yang menyewa di rumah kakak iparnya sejak Ogos tahun lalu.

Anggota bomba melihat tiga kenderaan yang terbakar sepenuhnya di Kampung Beringin pada awal pagi Rabu.
Anggota bomba melihat tiga kenderaan yang terbakar sepenuhnya di Kampung Beringin pada awal pagi Rabu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Komander Operasi PBK I (TBK I), Mohd Nazri Mat Rais berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.31 pagi sebelum sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, kerja-kerja menyelamat dan memadam kebakaran segera dilakukan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

“Api berjaya dikawal pada jam 4 pagi sebelum padam sepenuhnya pada jam 4.41 pagi.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!