KPKM terus pantau bekalan, harga beras tempatan di pasaran

JELEBU - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus memantau harga beras putih tempatan (BPT) di pasaran susulan penamatan subsidi bekalan itu pada Ahad lalu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini tiada sebarang aduan mengenai kenaikan harga bekalan tersebut diterima.
Menurutnya, walaupun subsidi itu telah ditamatkan, kerajaan masih menyalurkan peruntukan sekitar RM150 juta bagi memastikan harga BPT kekal pada paras RM2.60 sekilogram.
“Sekarang beras putih tempatan masih kekal pada harga RM2.60 sekilogram. Subsidi ini diteruskan sementara sehingga kajian semula dibuat.
“KPKM akan terus mendapatkan laporan berkala mengenai perkembangan BPT untuk dikemukakan dalam setiap mesyuarat Kabinet,” katanya selepas meninjau Projek Tanaman Padi Skim Sungai Buluh di sini pada Selasa.

Turut hadir, Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Beliau berkata, walaupun bekalan telah kembali stabil, Malaysia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada beras import kerana ia melibatkan sekuriti makanan.
“Kita pernah alami situasi ini sebelum ini. Apabila India menghentikan eksport beras putih, kita berdepan masalah bekalan dalam negara yang terjejas.
“Begitu juga faktor luar seperti konflik geopolitik boleh mempengaruhi harga makanan asas di negara ini, contohnya perang Ukraine-Rusia yang turut memberi kesan kepada bahan makanan,” katanya.
Justeru, katanya, kerajaan kini memberi tumpuan untuk meningkatkan kadar sara diri (SSR) dalam pengeluaran beras negara kepada 90 peratus bagi menjamin keterjaminan makanan.
Menurut beliau, SSR beras negara kini berada sekitar 56 peratus berbanding kemuncaknya iaitu 71 peratus sebelum ini, selepas kehilangan lebih 20,000 hektar sawah padi akibat pembangunan perumahan dan tanah terbiar.
“Untuk mencapai sasaran tersebut, kerajaan akan memfokuskan kepada dua strategi utama iaitu meningkatkan hasil sedia ada melalui projek penanaman sawah padi berskala besar dan membangunkan semula sawah-sawah terbiar.
“Kita lihat keinginan anak-anak muda mengusahakan sawah padi secara berskala besar juga semakin menggalakkan mutakhir ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

