Subsidi beras tempatan perlu diteruskan elak rakyat terbeban - NACCOL

TAIPING - Subsidi Beras Putih Tempatan (BPT) perlu diteruskan bagi memastikan harga yang lebih rendah dapat dinikmati oleh rakyat yang memerlukan.
Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, penamatan subsidi berkenaan bakal memberi kesan terhadap kos sara hidup rakyat.
Menurutnya, jika subsidi tersebut terpaksa dimansuhkan, kementerian berkaitan perlu menurunkan harga Beras Putih Import (BPI) yang kini semakin murah.
"Apabila subsidi tiada, harga BPT tidak akan stabil dan tidak boleh dijual pada harga RM26 sekilogram melainkan ikut nasihat kita, iaitu menurunkan harga beras import.
"Saya boleh bawa masuk beras import dengan harga kos beli di Pakistan hanyalah RM1,400 (untuk satu tan)," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian sempena Program Jualan Termurah Madani Sempena Kemerdekaan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang di sini pada Isnin.

Syed Abu Hussin berkata, mekanisme tersebut boleh dilaksanakan bagi menggantikan Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) Bersubsidi anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
"Banyak kaedah kita boleh buat. Bagi orang pengalaman, macam saya ada pengalaman. Saya ada kilang, semua saya ada.
"Sebagai Ketua Kluster NACCOL, kita tiada kuasa mutlak, cuma memberi nasihat dan pandangan sahaja," kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu.
Pada 30 Ogos, media melaporkan bahawa KPKM akan menilai semula mekanisme baharu pembekalan beras putih susulan Program Khas BPT Bersubsidi tamat pada 31 Ogos 2025, bagi memastikan rakyat terus mendapat bekalan mencukupi pada harga berpatutan.
Menurut kenyataan KPKM, penilaian itu turut mengambil kira penyelarasan harga Beras Putih Import (BPI) pada kadar RM2,600 satu tan metrik di pintu gudang Bernas yang berkuat kuasa 15 Mei lalu, serta langkah menangani amalan pencampuran beras di pasaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

