Penunggang motosikal maut terperosok bawah Kelisa

HULU SELANGOR – Seorang penunggang motosikal maut selepas terperosok di bawah sebuah kereta dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) di sini pada Selasa.
Peniolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 6.28 pagi.
"Seramai enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya digerakkan ke lokasi yang jaraknya sejauh 24 kilometer," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ahmad Mukhlis berkata, setibanya di lokasi pada jam 6.52 pagi, pihaknya mendapati sebuah motosikal jenis Honda RS150 yang ditunggang seorang lelaki berusia 33 tahun telah terperosok di bawah kereta Perodua Kelisa.
"Anggota bomba segera mengeluarkan mangsa, namun pemeriksaan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan lelaki itu meninggal dunia.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

