Jadikan sambutan merdeka aktiviti wajib setiap keluarga

MERAK Jalanan teringat waktu kecil dulu, setiap kali tiba Hari Kebangsaan, memang wajib keluarga bawa pergi tengok perarakan di Dataran Merdeka.
Walaupun susah payah kena bangun awal pagi, rasa mengantuk langsung hilang sebab terlalu seronok nak tunggu kereta berhias lalu depan mata.
Masa itu, suasana penuh dengan kibaran Jalur Gemilang dan muzik pancaragam, cukup buat hati kecil rasa bangga.
Tahun ini, bila sambutan dibuat di Putrajaya pada Ahad lalu, suasananya rasa lebih istimewa. Merak Jalanan suka dengan lokasi yang luas, tempat parkir pun senang, orang ramai pula datang dengan keluarga masing-masing.
Memang selesa nak duduk sambil layan kemeriahan. Lagi best bila tengok kanak-kanak kecil teruja bila nampak pasukan beruniform melintas, jelas nampak semangat patriotik masih hidup.
Cuma yang Merak Jalanan paling tak minat, bila ada segelintir masyarakat anggap 31 Ogos ini hanya cuti umum.
Lebih rela duduk di rumah, tengok televisyen atau tidur, seolah-olah sambutan merdeka ini hanya urusan rasmi kerajaan dan penjawat awam saja.
Sedangkan kalau turun sendiri ke lokasi, kita akan rasa aura berbeza dengan suasana penuh warna, penuh kebanggaan.
Merak Jalanan ingin berpesan, jangan biarkan anak-anak generasi akan datang membesar tanpa pengalaman menyaksikan perarakan merdeka.
Bawa mereka turun padang, biar mereka lihat lautan Jalur Gemilang, dengar sorakan rakyat, dan rasa sendiri detik penuh makna ini.
Dari situ barulah lahir rasa cinta pada negara, bukan sekadar hafal tarikh merdeka dalam buku teks.
Merdeka bukan sekadar bendera atau lagu patriotik, tetapi satu pengalaman bersama. Lebih ramai keluarga hadir, lebih meriah sambutan.
Jadi ingat, jangan biarkan 31 Ogos tahun hadapan berlalu begitu saja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
