Covid-19: Selangor peruntuk RM127.7 juta pakej rangsangan

Amirudin (dua dari kanan) berucap sewaktu mengumumkan Pakej Selangor Prihatin, hari ini
Amirudin (dua dari kanan) berucap sewaktu mengumumkan Pakej Selangor Prihatin, hari ini
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengumumkan pelaksanaan Pakej Selangor Prihatin dengan pembiayaan peruntukan keseluruhan sebanyak RM127.78 juta bagi golongan sasar yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang masuk hari ketiga.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemberian pakej rangsangan itu adalah menggunakan peruntukan Perbendaharaan Negeri serta sumbangan khidmat sosial korporat (CSR) anak syarikat kerajaan negeri.

Beliau berkata, sebagai menghargai petugas barisan hadapan dalam menangani Covid-19, kerajaan negeri meluluskan satu insentif 'one-off' sebanyak RM200 kepada 6,000 petugas dikenalpasti di hospital seluruh Selangor.

Kerajaan negeri turut memberi pengecualian sewa kepada 80,000 penjaja dan peniaga berlesen dalam premis bagi meringankan beban akibat kehilangan punca pendapatan utama.

"Pemberian khas 'one-off' kepada penjaja serta peniaga sebanyak RM500 bagi melancarkan aliran tunai masing-masing dan permohonan untuk pemberian tersebut mula dibuka mulai 1 April sehingga 30 April 2020," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini..

Amirudin berkata, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan sara diri 'one-off' sebanyak RM200 buat 2,500 orang pelajar yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan itu.

"Program Makanan Percuma juga akan dilaksanakan bermula 22 hingga 31 Mac ini buat penuntut yang terpaksa kekal di kampus masing-masing. Keseluruhan bantuan ini bernilai RM2.3 juta," katanya.

Amirudin berkata, pihaknya memandang serius penularan Covid-19 yang kini sudah dikategorikan sebagai satu pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sehingga memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Kerajaan negeri akan mencuba sebaik mungkin bagi meringankan beban rakyat serta menampan (cushion) derita kewangan mereka yang terkesan.

"Kita juga bersedia mendengar sebarang cadangan untuk menambah baik perbelanjaan fiskal negeri demi kemaslahatan rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan: