Peniaga ambil kesempatan jual pembasmi kuman tiruan

Che Hassan
Che Hassan
A
A
A

KANGAR - Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) meminta peniaga tidak mengambil kesempatan menjual produk penjagaan diri tiruan ketika pengguna sedang menghadapi saat getir berhubung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Presidennya, Leftenan Kolonel (H) Che Hassan Che Johan berkata, lambakan produk seperti cecair pembasmi kuman dengan pelbagai jenama muncul secara tiba-tiba ketika ini dan tidak dapat dipastikan sama ada produk berkenaan mendapat kelulusan atau tidak daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kami ada menerima aduan pengguna secara tidak rasmi di laman sosial Facebook yang mendakwa kulit menjadi kering dan mengelupas selepas menggunakan cecair pembasmi kuman yang disyaki tiruan.

"Berdasarkan maklumat diterima, pengguna mendakwa membeli produk berkenaan secara dalam talian bagi botol 50 mililiter (ml), "katanya kepada pemberita hari ini.

Che Hassan berkata, sehubungan itu, PPMM memberi peringatan kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menjual produk tiruan ketika pengguna memerlukannya pada waktu kemuncak.

"Kami mengecam tindakan individu tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan akibat penularan Covid-19 untuk mengaut keuntungan," katanya.

Beliau berkata, rakyat dinasihatkan supaya peka dalam mengenalpasti produk penjagaan diri sama ada produk itu diiktiraf atau tidak demi mengelakkan perkara tidak diingini.

"Isu produk sedemikian mestilah ditangani dengan kepekaan dan keterbukaan pengguna sendiri. Bagi pengguna yang mengalami nasib sama diminta membuat laporan kepada pihak berkaitan seperti KKM untuk memudahkan siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: