MyKasih: Pengguna tinggal barang bukan kategori terpilih dalam troli

MELAKA – Isu lambakan troli berisi barangan di pasar raya yang menyertai program MyKasih bukan sahaja berpunca daripada sistem tergendala tetapi turut disebabkan pembelian produk yang tidak termasuk dalam kategori terpilih.
Tinjauan di pasar raya mendapati situasi itu bukan sahaja mengganggu aliran pelanggan, malah menimbulkan rasa tidak puas hati terutama dalam kalangan warga emas yang mengakui kurang mahir menggunakan telefon bimbit canggih untuk membuat pengesahan pembelian atau imbasan kod barangan terpilih.
Keadaan menjadi lebih sukar sekiranya kawasan berkenaan mempunyai capaian internet yang lemah, sekali gus menyukarkan pengguna membuat imbasan menerusi aplikasi MyKasih.

Seorang warga emas, Ahmad Menhat, 67, berkata, dia beberapa kali berdepan masalah apabila barangan yang dibelinya gagal diproses kerana tidak tersenarai dalam kategori terpilih.
Menurutnya, dia mengambil barangan di bahagian yang diletakkan pelekat MyKasih, namun apabila tiba di kaunter pembayaran, barangan terbabit rupa-rupanya bukan dalam kategori terpilih.
“Memang kecewa, lebih-lebih lagi kalau barang itu sebenarnya keperluan harian kerana saya ambil barang yang fikir boleh dibeli, tapi bila imbas atau sampai kaunter, ada yang ditolak.
“Sudahlah terpaksa beratur panjang, semalam sistem tergendala, hari ini lain pula jadinya,” katanya.
Selain isu teknikal, penerima MyKasih juga berharap kerajaan mempertimbangkan perluasan senarai produk yang dibenarkan, khususnya melibatkan barangan segar.
Seorang lagi penerima, Mariam Abdullah, 51, berkata, barangan segar adalah keperluan harian yang penting, namun ketiadaannya dalam senarai menyebabkan mereka masih perlu mengeluarkan wang tunai tambahan untuk kelangsungan hidup.
“Kalau beras, minyak, gula memang ada dalam senarai, tapi barang segar pun penting. Kami harap kerajaan dapat fikirkan semula supaya lebih seimbang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beberapa pekerja pasar raya dilihat sedang mengasingkan lebih 10 troli berisi barangan yang dipercayai ditinggalkan kerana tidak termasuk dalam kategori terpilih.
Program SARA RM100 yang bermula hari ini membolehkan lebih 20 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas menebus bantuan one-off tersebut di pasar raya dan kedai rakan niaga seluruh negara sehingga 31 Disember 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

