Hari pertama tebus SARA RM100 terjejas, sistem tergendala

Sistem tergendala sementara waktu di sebuah pasar raya menyebabkan ramai pengguna tidak dapat menebus Sara pada hari pertama di daerah ini. Foto kecil dari kiri: Hizami dan Nor Zulfa.
Sistem tergendala sementara waktu di sebuah pasar raya menyebabkan ramai pengguna tidak dapat menebus Sara pada hari pertama di daerah ini. Foto kecil dari kiri: Hizami dan Nor Zulfa.
A
A
A

TEMERLOH – Hari pertama selepas kerajaan mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas bermula Ahad terjejas apabila sistem tergendala menyebabkan ramai pengguna tidak dapat menggunakan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) masing-masing.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya sekitar daerah ini mendapati sistem tergendala sementara waktu bermula kira-kira jam 10.30 pagi.

Seorang kakitangan pasar raya terlibat memaklumkan hanya beberapa pengguna sempat menebus SARA sebelum sistem tergendala menyebabkan banyak barangan terpaksa dipulangkan semula.

"Jadi kita mengambil inisiatif meletakkan notis supaya pelanggan yang datang menyedari sistem tergendala sementara waktu," tambahnya.

Suri rumah, Nor Zulfa Abdul Rahman, 42, mengakui teruja untuk menggunakan SARA susulan kali pertama menikmati manfaat tersebut.

"Namun bila dapat tahu sistem tergendala sementara waktu, saya akur dan faham kerana mungkin hari pertama ramai yang guna," katanya kepada Sinar Harian.

Hizami Zakaria, 33, pula memberitahu dia akan menggunakan SARA pada hari lain kerana sedar dengan kesibukan pada hari pertama dan awal bulan.

"Saya bercadang untuk guna mungkin pada 6 atau 7 haribulan ke atas kerana tidak sibuk berbanding hari pertama dan awal bulan," kata pekerja swasta itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu mengumumkan pemberian tersebut kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad di bawah program SARA yang terpakai untuk pembelian barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, pemberian itu bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos merupakan ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain sebagai penghargaan kepada rakyat, yang memberikan manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!