Sistem MyKasih gagal berfungsi, pelanggan tinggal barang dalam troli

SHAH ALAM – Suasana di sebuah pasar raya terkenal di sini bertukar kecoh apabila ramai pelanggan terpaksa meninggalkan barangan di dalam troli selepas sistem MyKasih tergendala pada hari pertama tuntutan dibuat pada Ahad.
Gangguan itu menyebabkan transaksi menggunakan kemudahan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) RM100 yang dikreditkan ke dalam MyKad tidak dapat diproses di kaunter pembayaran.
Tinjauan mendapati sebahagian pelanggan yang menunggu sejak awal pagi meluahkan rasa kecewa apabila usaha membeli barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan susu tidak berjaya.
Menurut Nabila Junaidi, 30, dari Seri Kembangan, beliau amat kecewa kerana tidak dapat menebus baucar berkenaan.
“Saya ingat dapat selesaikan hari ini kerana datang semata-mata untuk pembelian barang dapur, tetapi sistem gagal berfungsi. Sudah tentu kecewa,” ujarnya.
Sementara itu, Maizon Tiub, 64, turut berdepan kesulitan apabila perlu datang semula ke pasar raya berkenaan kerana sistem masih gagal beroperasi dengan baik pada hari pertama tuntutan dibuat.
Seorang lagi pelanggan, Zarina Othman, 39, dari Shah Alam yang juga ibu kepada seorang anak, merayu agar pihak berkuasa berkaitan segera melakukan penambahbaikan.
“Isu ini kerap berulang. Saya harap sistem MyKasih diperbaiki supaya rakyat tidak terus terbeban,” ujarnya.
Ada juga pelanggan lain yang terpaksa meninggalkan troli berisi barangan selepas lebih setengah jam beratur, apabila juruwang mengumumkan sistem MyKasih tidak dapat disambungkan dari jam 10 pagi hingga 3.30 petang (setakat berita ini ditulis).
Pihak pengurusan pasar raya berkenaan memaklumkan gangguan itu berpunca daripada masalah teknikal di peringkat sistem MyKasih dan mereka sedang menunggu arahan lanjut daripada pihak pengendali.
MyKasih Foundation sebelum ini turut mengesahkan berlaku masalah teknikal melibatkan transaksi program SARA dan memberi jaminan usaha sedang dijalankan untuk mengatasinya secepat mungkin.
Program SARA RM100 yang bermula hari ini membolehkan lebih 20 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas menebus bantuan one-off tersebut di pasar raya dan kedai rakan niaga seluruh negara sehingga 31 Disember 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

