X

Kindly register in order to view this article
!

Pemotongan SPR menepati masa, kata pakar ekonomi

A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menurunkan nisbah keperluan rizab berkanun (SRR) kepada 2.0 peratus berkuat kuasa hari ini daripada 3.0 peratus telah dijangka pakar-pakar ekonomi yang berpandangan bahawa langkah itu sebagai tepat pada masa berdasarkan situasi ekonomi sekarang.

Ketua Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd, Nor Zahidi Alias berkata, pemotongan diumumkan semalam dijangka cuma pakar-pakar ekonomi mempunyai pelbagai pandangan mengenai kuantum pengurangan yang diperlukan.

Kejutan bekalan yang ketara biasanya menjejaskan kecairan dalam sistem, oleh itu pengurangan dalam SRR adalah wajar.

"Walaupun jika kecairan kekal mencukupi buat masa sekarang, kemungkinan berlakunya kejutan yang ketara dalam ekonomi sebenar (akibat wabak Covid-19) menjadikan perlu bagi pembuat dasar untuk bertindak balas lebih awal.

"Kemerosotan kecairan yang mendadak juga akan menyebabkan turun naik dalam pasaran kewangan dan ini akan memberi kesan yang mendalam terhadap perniagaan serta pengguna. Akhirnya, ekonomi sebenar akan terjejas. Itulah sebabnya, langkah ini baik pada masa sekarang," katanya.

Sejak 2019, SRR urangkan sebanyak 150 mata asas. Semasa kegawatan ekonomi 2009, ia dipotong sebanyak 1.0 peratus.

Melangkah ke hadapan, lebih banyak langkah fiskal kewangan bakal diumumkan jika krisis yang berpunca daripada koronavirus (Covid-19) ini berpanjangan.

"Ini disebabkan, kali ini ekonomi global turut terjejas secara serentak dan oleh itu, ia mungkin akan memberi kesan material terhadap ekonomi Malaysia," katanya.

Ketua Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed berkata BNM telah membuat satu langkah yang mantap dengan mengambil kira kedudukan kecairan pada masa akan datang, memberikan bank dengan mudah tunai yang mencukupi supaya tidak ada tekanan kecairan di pasaran.

"BNM sentiasa memantau sistem kewangan perbankan untuk menyokong keperluan industri. Kita bukan berada dalam situasi normal. Dalam keadaan yang mencabar ini, bank pusat perlu menjadi proaktif bagi kekal di hadapan keluk.

"Lebih-lebih lagi, secara global, kita sedang menuju ke arah rejim kadar faedah yang lebih rendah. Tahun lepas, sejumlah 47 bank pusat menurunkan kadar faedah mereka. Tahun ini, 12 bank pusat di seluruh dunia telah mengurangkan kadar faedah seperti UK, Filipina, Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada,” katanya.

Berdasarkan trend dalam pasaran kewangan global, beberapa bank pusat telah menyediakan kecairan kepada sistem perbankan sejak dari September 2019 hingga 17 Mac 2020, termasuk Rizab Persekutuan AS (AS$7.7 trilion), Bank of Japan (AS$3.2 trilion) dan Bank Pusat Eropah (AS$4.7 trilion).

“Dasar kewangan yang berhemat dan kecairan yang berkesan akan menunjang sektor perbankan ke hadapan. Kita tidak akan terkejut jika BNM merendahkan OPR kepada 2.0 peratus bagi menyokong prospek KDNK bagi tahun ini. Ringgit akan mengikuti pergerakan Yuan dan minyak untuk menentukan nilai pasaran saksamanya," kata.

Selain mengurangkan SRR kepada 2.0 peratus, BNM menjelaskan, setiap pengedar utama akan dapat mengiktiraf Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) sehingga RM1 bilion sebagai sebahagian daripada pematuhan SRR.

"Fleksibiliti untuk pengedar utama adalah tersedia sehingga 31 Mac 2021. Langkah gabungan ini akan mengeluarkan lebih kurang RM30 bilion nilai kecairan dalam sistem perbankan," kata BNM dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyambut baik pengurangan SRR selepas pasaran kewangan agak terganggu disebabkan pandemik Covid-19 serta kesannya terhadap ekonomi global.

Oleh itu, buat masa sekarang, usaha bagi memastikan kecairan yang mencukupi adalah amat penting supaya proses pengantaraan kewangan, seperti aktiviti pinjaman dan peminjaman, tidak akan terganggu berikutan penghindaran risiko, katanya.

Bank tersebut menganggarkan Liabiliti yang Layak pada Januari menunjukkan jumlah kecairan yang akan disuntik akan berada pada sekitar RM15 bilion.

Beliau ketika bercakap mengenai pengiktirafan MGS dan MGII sehingga RM1 bilion sebagai sebahagian daripada pematuhan SRR memberitahu, ini menunjukkan BNM amat komited untuk memastikan bahawa sistem kewangan mempunyai kecairan yang mencukupi dalam menghadapi ketidakpastian global.

Kali terakhir, BNM mengurangkan nisbah SRR ialah pada 16 November 2019, iaitu kepada 3.00 peratus daripada 3.50 peratus, satu langkah yang diambil untuk memastikan kecairan yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus