Covid-19: Ketua Menteri Melaka umum insentif khas RM2.43 juta

 Sulaiman Md Ali
Sulaiman Md Ali
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM2.43 juta bagi pemberian bantuan insentif khas kepada kumpulan sasar yang terjejas akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Menterinya, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, insentif Itu sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan terhadap golongan itu selain kesulitan yang dialami mereka termasuk selama Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurutnya, ia termasuk penjaja dan peniaga kecil yang terjejas diberikan pengecualian sewa tapak selama dua bulan iaitu Mac dan April serta bayaran lesen tahunan bagi tahun 2020 dengan implikasi kewangan masing- masing sebanyak RM1.04 juta dan RM0.90 juta.

"Peruntukan khas turut diberikan kepada petugas barisan hadapan kesihatan dengan mencadangkan pemberian sumbangan elaun makanan serta pembelian peralatan asas masing-masing berjumlah RM0.39 juta dan RM0.10 juta.

"Insentif itu penting bagi meringankan beban peniaga kecil yang hanya memperoleh sumber pendapatan daripada hasil perniagaan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya, menjelaskan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Penutupan itu membabitkan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara (essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Semalam Sulaiman berkata, kerajaan negeri sedang mengkaji lebih terperinci insentif yang akan diberikan kepada mereka yang terjejas akibat wabak Covid-19 di negeri ini.

Artikel Berkaitan: