Replika rumah asal Felda jadi simbol keringat, perjuangan peneroka

DUNGUN – Sebuah replika rumah asal generasi peneroka Felda yang dibina di Felda Kerteh 1, di sini, menjadi simbol keringat dan perjuangan warga tanah rancangan itu sejak ia mula diterokai lebih empat dekad lalu.
Lebih istimewa, replika berukuran 3.5 meter lebar dan 1.8 meter panjang itu dibina secara bergotong-royong oleh penduduk setempat dengan kos mencecah RM15,000.
Seorang peneroka, Ghazali Abdul Kadir, 65, berkata, beliau sanggup melaburkan wang sendiri demi menghidupkan semula nostalgia rumah asal generasi Felda yang ketika itu hanya mempunyai satu bilik, ruang tamu kecil dan dapur, manakala tandas dibina di luar rumah.
"Rumah asal kami sangat sederhana tetapi menjadi saksi titik peluh membangunkan tanah rancangan ini.
"Dengan adanya rumah kecil ini, sekurang-kurangnya generasi muda dapat melihat sendiri bagaimana kehidupan peneroka dahulu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ghazali berkata, pembinaan replika itu yang bermula pada Mei lalu turut dilengkapi dengan pintu gerbang, taman dan kolam ikan, selain sebuah bilik dengan katil hasil ukiran tangan peneroka sendiri.
Katanya, replika tersebut turut dihiasi dengan Jalur Gemilang dan pelbagai dekorasi sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 kali ini.
Pembinaan replika rumah itu kini menjadi mercu tanda kecil di Felda Kerteh 1, bukan sahaja sebagai tatapan generasi muda, malah sebagai bukti sejarah perjuangan peneroka yang wajar dikenang sepanjang zaman.
Sementara itu, seorang warga emas, Siti Mat Amin, 70, berkata, replika itu mengembalikan memori awal penerokaan Felda pada tahun 1978.
"Ketika itu kami sangat susah. Saya ambil upah tanam benih sawit, suami pula buat kerja berat.
"Dengan hasil Felda inilah kami dapat membesarkan anak-anak, malah saya berpeluang mengerjakan haji bersama suami," katanya.
Siti menambah, projek replika rumah itu lebih bermakna kerana disempurnakan secara bergotong-royong, di mana kaum lelaki menyiapkan struktur rumah manakala kaum wanita menghias kawasan sekeliling.
Sementara itu, cucu peneroka, Hasya Sufiya Roslan, 19, yang juga penuntut Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak, berkata, replika itu memberinya peluang melihat sendiri rumah asal Felda yang sebelum ini hanya diceritakan oleh neneknya.
"Saya sangat teruja melihat replika ini, lebih-lebih lagi semangat kebersamaan penduduk di sini yang sanggup bertungkus-lumus menyiapkan hiasan kampung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
