Sistem SARA tergendala, penerima terpaksa beli secara tunai

JOHOR BAHRU - Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara sekali beri atau 'one-off' pada Ahad berdepan sedikit masalah teknikal di beberapa pasar raya di Pasir Gudang.
Tinjauan Sinar Harian di dua pasar raya besar di kawasan berkenaan mendapati keadaan itu menyebabkan ramai pengunjung terpaksa membuat pembelian secara tunai seperti biasa.
Bagi suri rumah, Azmah Amsi, 59, perkara itu sedikit mengecewakan kerana bantuan tersebut telah dimaklumkan sejak awal.
Bagaimanapun katanya, dia berharap agar masalah teknikal itu segera dipulihkan supaya orang ramai dapat berbelanja seperti yang diwar-warkan.
"Saya datang dalam jam 10 pagi, tetapi dimaklumkan mengenai masalah sistem oleh kakitangan pusat beli-belah ini.
"Memang rasa marah juga sebab kita datang nak berbelanja, tapi akhirnya kena beli dengan tunai kerana masalah sistem ini," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan bantuan SARA sebanyak RM100 secara sekali beri menerusi MyKad yang mula disalurkan pada Ahad.
SARA boleh dibelanjakan sehingga 31 Disember 2025 di lebih 4,100 rakan niaga seluruh negara termasuk menerusi program Jualan Rahmah.
Seorang lagi suri rumah, Irwati Akoh, 42, berkata, dia dimaklumkan mengenai masalah teknikal berkenaan sekitar jam 2 petang.
Katanya, pengumuman daripada pihak pasar raya itu memaklumkan masalah terbabit berlaku sejak jam 10 pagi.
"Niat nak guna SARA kali ini, tapi tak boleh pula, jadi saya beli secara tunai.
"Sepatutnya tiada masalah kerana ia sudah diumumkan lebih awal.
"Apa pun, diharapkan agar sistem yang tergendala ini dapat diatasi secepat mungkin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
