Lebih 7,000 serbu Mydin Tunjung tebus bantuan SARA

KOTA BHARU - Lebih 7,000 penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menyerbu Pasar Raya Mydin Tunjung di sini untuk menebus bantuan RM100 yang dikreditkan ke dalam MyKad pada Ahad meskipun sistem agak perlahan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati suasana di pasar raya tersebut seakan-akan musim sambutan hari raya apabila 17 kaunter yang dibuka dipenuhi pelanggan.
Difahamkan ‘kesesakan’ itu mula berlaku seawal jam 8 pagi hingga 4 petang yang menyaksikan hampir 100 troli sarat dengan barangan asas ditinggalkan oleh pelanggan yang tidak sanggup menunggu lama.

Jurucakap Mydin berkata, kakitangan pasar raya terpaksa mengemas serta mengembalikan semula barangan tersebut seperti minyak masak, beras, sabun dan keperluan dapur lain ke rak bagi mengelakkan kerosakan.
“Mungkin mereka teruja untuk berbelanja, kebetulan hari ini cuti umum.
“Boleh dikatakan sejak pagi tadi sehingga sekarang suasana di sini sungguh meriah, bagaimanapun masih terkawal dan pelanggan juga ramai yang penyabar,” katanya.
Seorang suri rumah dari Jertih, Terengganu, Siti Mastura Mat Hussin, 25, berkata, beliau mengambil kesempatan untuk singgah menebus sumbangan tersebut selepas menghadiri kenduri di Kota Bharu.

Katanya, keluarganya mempunyai sumbangan berjumlah RM300 selepas suami turut menjadi penerima bulanan SARA.
“Kami fokus kepada susu anak-anak berusia dua dan tiga tahun, selebihnya untuk barangan dapur. Bulan ini dapat berbelanja lebih, terima kasih Kerajaan Malaysia,” katanya.
Bagi pekerja penghantaran, Mohamad Khairizai Zaki, 30, beliau dan isteri membelanjakan wang diterima untuk membeli lampin pakai buang, susu anak serta barangan dapur.

“Bulan ini jimat kerana kami dapat RM300. Biasanya kena habiskan RM400 untuk barang dapur. Seronok bila ada duit lebih yang boleh disimpan untuk kegunaan lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

