Rakyat mula berbelanja guna SARA RM100, legakan kos sara hidup

GEORGE TOWN – Rakyat Malaysia mula membeli-belah hasil pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 yang dimasukkan terus ke dalam kad pengenalan masing-masing bermula Ahad sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya di sini mendapati ia dipenuhi orang ramai yang mengambil peluang membeli-belah barangan keperluan dengan wang sumbangan berkenaan.
Penerima melahirkan rasa lega dan gembira kerana bantuan itu dapat mengurangkan sedikit beban perbelanjaan harian, lebih-lebih lagi ketika menunggu gaji bulanan.
Seorang pekerja swasta, Nur Baini Badrul Zaman, 37, berkata inisiatif itu amat membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang berdepan kos sara hidup semakin meningkat.

“Dengan pemberian RM100 ini, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit perbelanjaan harian sementara menunggu gaji. Saya rasa program ini patut diteruskan.
“Malah kalau boleh, jumlahnya dinaikkan menjadi RM150 atau RM200 kerana harga barang sekarang semakin meningkat. Kalau boleh, guna juga di restoran sebab ada yang lebih susah yang memerlukannya,” katanya ketika ditemui pada Ahad.
Sementara itu, seorang pekerja pasar basah, Ng Lui Kei, 55, menganggap langkah kerajaan menyalurkan SARA secara terus kepada rakyat adalah langkah bijak kerana memberi kelegaan segera.
“Bagus kerajaan buat begini, kalau boleh bagi selalu agar rakyat tidak terbeban. Walaupun hanya RM100, ia tetap dianggap banyak bagi orang yang tidak berkemampuan.
“Sekurang-kurangnya dapat beli barang dapur seperti Milo dan keperluan harian lain,” ujarnya.
Bagi seorang lagi penerima, C Vijayaletchimi, 64, berkata, SARA ini tidak seharusnya terhad kepada barangan tertentu sahaja sebaliknya wajar diperluaskan penggunaannya termasuk di restoran.
“Kalau boleh guna di restoran, lagi baik sebab boleh bagi budak-budak makan dan mereka pun seronok. Selain barang dapur, keperluan seperti Milo, susu, gula dan beras memang sangat membantu keluarga.
“Saya sendiri berasa sangat gembira sebab dapat duit dari kerajaan, sekurang-kurangnya ada juga yang meringankan beban kami,” katanya.
Seorang pemandu e-hailing, Amirul Hakim Rahman, 29, pula berkata, bantuan ini walaupun tidak besar, sekurang-kurangnya boleh menampung kos minyak dan barang dapur untuk beberapa hari.

“Kerja saya ikut trip, kadang-kadang pendapatan tak menentu. RM100 ini memang saya guna untuk isi minyak dan beli barang dapur.
“Kalau kerajaan boleh naikkan sikit jumlahnya, memang lebih melegakan,” katanya.
Bagi seorang suri rumah, Siti Rohayu Abdul Rahman, 42, pula, bantuan berkenaan ibarat ‘penyelamat’ ketika harga barang semakin meningkat.
“Sekarang semua barang naik. RM100 ini memang rasa sangat berharga. Saya beli susu anak, beras dan barang basah untuk keluarga.
“Kalau boleh, biarlah program ini jadi tetap setiap bulan, bukan sekali-sekala sahaja,” katanya.
Secara keseluruhannya, rata-rata penerima menyifatkan pemberian SARA RM100 ini sebagai inisiatif yang wajar diteruskan dari semasa ke semasa, khususnya bagi membantu golongan yang benar-benar memerlukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

