Kemakmuran Perak hasil gandingan rakyat pelbagai kaum - Saarani

IPOH – Kemajuan dan kemakmuran yang dinikmati Perak hari ini lahir daripada kesatuan rakyat pelbagai bangsa yang bergandingan mengangkat negeri ini ke persada dunia.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kemakmuran negeri hanya dapat dikekalkan sekiranya rakyat memilih untuk kekal bersatu.
Menurutnya, kemajuan tidak akan lahir dalam suasana penuh curiga begitu juga pembangunan tidak akan terlaksana jika disemai dengan kebencian.
“Inilah kejayaan yang tidak lahir daripada seorang, bukan hasil satu kaum semata-mata.
"Ia lahir daripada tangan-tangan rakyat yang berganding, daripada hati-hati yang seia sekata, daripada tekad bersama menjadikan Perak dan Malaysia negeri yang makmur serta rakyatnya sejahtera.
"Namun segala kejayaan ini tidak akan mungkin bertahan, tidak akan mungkin berkembang, jika kita memilih jalan untuk saling berantakan,” katanya ketika berucap.
Beliau berkata demikian ketika sempena Sambutan Ambang Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2025 yang diadakan sempena Festival Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) 2025 di Bandar Meru Raya malam Sabtu.
Saarani menegaskan, nikmat kemerdekaan yang dikecapi selama 68 tahun perlu dipertahankan bersama kerana ia adalah amanah besar peninggalan pejuang terdahulu.
Menurut beliau, Perak kini melangkah gagah dengan pelbagai projek mega yang menjanjikan masa depan cerah, termasuk Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, Lumut Maritime Industrial City (LUMIC), Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan Halal Industrial Park (HIP) di Lekir.
Jelasnya, semua kejayaan itu berpaksikan gagasan Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai inti pembangunan.
Saarani turut mengajak rakyat mengambil kesempatan sambutan kemerdekaan memperbaharui tekad untuk menjaga keharmonian, persaudaraan dan perpaduan demi masa depan negeri serta negara.
“Hakikatnya, sebuah negara tidak hanya diukur dengan megahnya bangunan atau gahnya pembangunan, tetapi dengan seberapa jauh kerajaan dan rakyat saling mendampingi.
"Apabila setiap insan merasakan dirinya dihargai, maka di situlah kekuatan sebenar sebuah bangsa merdeka,” katanya.
Sementara itu, dianggarkan lebih 20,000 membanjiri BSAS bagi memeriahkan lagi sambutan ambang merdeka itu.
Pada majlis berkenaan Saarani turut menyempurnakan gimik pelancaran Pakej Pelancongan dan Direktori Premis Penginapan (Perak Pages) Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

