Dua maut makan tiram mentah tercemar

Tiram antara makanan laut yang paling berisiko tinggi membawa bakteria ini. Agensi
Tiram antara makanan laut yang paling berisiko tinggi membawa bakteria ini. Agensi
A
A
A

LOUISIANA – Dua individu dilaporkan maut selepas memakan tiram mentah yang tercemar dengan bakteria berbahaya dikenali sebagai Vibrio vulnificus, menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Louisiana pada Jumaat.

Bakteria ini biasanya ditemui di perairan pantai yang hangat. Ia boleh menjangkiti manusia melalui dua cara iaitu apabila luka terbuka terdedah kepada air tercemar atau apabila seseorang mengambil makanan laut mentah atau tidak dimasak sempurna.

“Tiram antara makanan laut yang paling berisiko tinggi membawa bakteria ini,” jelas kenyataan pihak berkuasa kesihatan negeri tersebut.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Vibrio vulnificus boleh menyebabkan penyakit serius termasuk nekrotizing fasciitis sejenis jangkitan pemakan daging yang berpotensi mengancam nyawa dan boleh mengakibatkan anggota badan terpaksa dipotong.

Statistik menunjukkan satu daripada lima pesakit yang dijangkiti bakteria ini meninggal dunia.

Sepanjang tahun ini, Louisiana merekodkan 22 kes jangkitan, kesemuanya memerlukan rawatan hospital. Empat mangsa disahkan meninggal dunia, termasuk dua yang memakan tiram mentah dan dua lagi akibat pendedahan luka terbuka kepada air laut. Identiti kesemua mangsa tidak didedahkan.

Seorang mangsa yang makan tiram tercemar merupakan penduduk tempatan manakala seorang lagi berasal dari luar negeri.

Jabatan Kesihatan Louisiana turut mengingatkan orang ramai bahawa jumlah kes dan kematian akibat bakteria berkenaan semakin meningkat. Sepanjang dekad lalu, purata hanya tujuh kes dan satu kematian dilaporkan setiap tahun.

Trend jangkitan ini dikaitkan dengan fenomena lautan yang semakin panas. Awal bulan ini, Florida turut mengesahkan 13 kes Vibrio vulnificus di 11 daerah dengan lapan daripadanya berakhir dengan kematian.

Artikel Berkaitan:

Kes serupa kini dilaporkan sejauh Massachusetts, Connecticut dan New York. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!