'Bebas bermimpi tentang masa depan lebih baik' - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Erti kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada belenggu penjajahan, sebaliknya memberi peluang kepada rakyat untuk hidup bersatu padu tanpa rasa curiga serta bebas bermimpi tentang masa depan yang lebih baik.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kemerdekaan wajar dihayati sebagai simbol kebebasan untuk menolak sempadan yang memisahkan kaum dan agama, sebaliknya menjadikan kepelbagaian itu sebagai kekuatan membina negara.

"Merdeka bukan hanya bermakna bebas daripada kuasa asing, tetapi juga bebas daripada rasa curiga antara kita, bebas daripada sempadan yang memisahkan kaum, dan bebas untuk bermimpi tentang masa depan yang lebih baik.

"Hari ini kita melihat anak-anak Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli dan lain-lain duduk belajar bersama, bekerja bersama, membina kehidupan bersama. Inilah erti sebenar kemerdekaan," katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, pada Sabtu.

Ahmad Samsuri berkata, sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun seharusnya menjadi peringatan terhadap pengorbanan generasi terdahulu yang bersatu hati tanpa mengira kaum, agama dan budaya demi membebaskan tanah air.

Beliau dalam pada itu turut mengajak rakyat untuk menghayati roh kemerdekaan dengan berpegang kepada nilai perpaduan, saling mengenali antara satu sama lain serta menghormati kepelbagaian yang ada.

"Kita mungkin datang daripada latar belakang yang berbeza, tetapi kita berkongsi satu tanah air, satu bendera dan satu destinasi masa depan.

"Selamat Hari Merdeka, selamat menyambut Hari Kebangsaan, Malaysia Tanah Air Tercinta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!