Mencari hikmah dalam krisis

A
A
A

WABAK Covid-19 kini dianggap mengancam bukan sahaja kesihatan malah kestabilan ekonomi dan sekuriti awam. Bermula 31 Disember 2019 di Wuhan, China, ia merebak sehingga wabak itu diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai pandemik yang dianggap serius dan perlu perhatian serta-merta pada 30 Januari 2020.

Kali ini wabak tersebut memberi kesan yang bukan kepalang. Daripada urusan peribadi sehingga soal amalan agama serta pengurusan keselamatan dan ekonomi negara.

Kami menginsafkan semua mengenai ingatan al-Quran. “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin ALLAH; dan sesiapa yang beriman kepada ALLAH, ALLAH akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), ALLAH Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Taghaabun 64:11)

Bermakna ALLAH SWT berpesan agar manusia merenung kekerdilan diri dan bermuhasabah dengan tenang akan bencana yang menimpa agar dapat memperbaiki kealpaan dan berpegang teguh kepada ketentuan ALLLAH.

Sememangnya krisis wabak yang meragut nyawa ribuan manusia ini amat mengerikan. Yang terjangkit ada rakyat biasa, kanak-kanak, wanita dan orang dewasa dan tua.

Ada pekerja, petani dan ada ahli politik, menteri, kakitangan perubatan, ahli agama, komandan tentera, menteri dan ahli sukan serta selebriti, turut dijangkiti.

Pokoknya musibah ini global sifatnya seperti yang dipesan dalam al-Quran, ia tidak memilih. Semuanya terkesan, yang beriman dan yang tidak.

“Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja dalam kalangan kamu. Dan ketahuilah azab ALLAH itu amat keras.” (Surah Al-Anfal: 5)

Artikel Berkaitan:

Bukan sahaja aktiviti seharian seperti beriadah, mengadakan acara pertemuan, bersalaman, menaiki kenderaan awam, membeli barangan keperluan harian yang terjejas, malah seluruh pengurusan negara seperti perbelanjaan negara, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi berada dalam keadaan tidak menentu.

Krisis

Setiap kerajaan cuba melakukan usaha yang luar biasa mengikut konteks masing-masing dalam menangani wabak ini.

Ada yang mengisytiharkan darurat, mengumumkan sekatan total daripada pendatang luar, menyekat dan menutup sempadan dan lapangan terbang, menutup operasi perniagaan dan sekolah, membatalkan acara keraian, sukan dan ibadah umrah.

Sehingga rencana ini ditulis, tidak kurang daripada 150 negara terjangkit dengan Covid-19 melibatkan 200,000 orang.

Ternyata ketika WHO mengisytiharkan Covid-19 sudah sampai kepada peringkat wabak (pandemik), barulah seluruh dunia celik bahawa wabak itu sangat berbahaya sehingga menjejaskan keselamatan awam. Kini, ia menjadi krisis global yang sangat serius.

Setelah kes jangkitan Covid-19 di Malaysia mencecah lebih 700 orang, kerajaan tidak boleh lagi memandang ringan wabak ini.

Kita pernah beberapa kali dilanda jerebu sehingga ke peringkat krisis yang meruncing. Kesannya juga merentas sempadan dan sektor.

Akibatnya kerugian juga mencecah ratusan juta ringgit, malah hampir berlaku tuding-menuding antara negara jiran sehingga menjadi tegang.

Demikian kita berulang kali berdepan dengan krisis alam sekitar dan krisis kesihatan yang turut menjejaskan ekonomi negara.

Soalnya, apakah kita telah cukup menghimpun pengajaran dan menggali hikmah di sebalik krisis ini. Yang jelas belum lagi.

Ada perkara yang terus kita lakukan atas nama pembangunan walaupun kita tahu ia boleh menjejaskan alam sekitar dan mengancam kesihatan.

Hikmah yang harus kita raih daripada krisis ini ialah kita perlu cermat dan berhati-hati dalam memacu kemodenan dan kemajuan.

Kemungkaran terhadap alam yang kita lakukan mengundang kerosakan yang berganda.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu