Kesatuan kepimpinan bentuk negara teguh

SEBERANG JAYA - Malaysia #QuranHour menekankan mesej tentang kesatuan kepimpinan dalam memastikan negara berada dalam keadaan yang teguh dan kukuh.
Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Zaiton@Zariyah Abdullah berkata, penganjuran kali ini memberi fokus kepada Surah Al-Saf ayat 1 hingga 14 yang menekankan tentang kesatuan kepimpinan, rakyat, penjawat awam serta penyokong keputusan Parlimen demi membentuk sebuah negara yang teguh.
“Malaysia #QuranHour memberi ruang untuk kembali merenungi ayat ALLAH SWT, seperti mana kisah Nabi Isa dalam surah Ali Imran ayat 52 yang menyeru Hawariyyun bangkit menentang kekufuran dan kembali kepada kitabullah.
“Harapan kami agar dakwah ini berterusan untuk membina iman dan taqwa dengan pendekatan bersumberkan al-Quran, demi kesatuan ummah dan kasih sayang sesama manusia,” katanya kepada Sinar Harian.
Selain itu katanya, ia turut menekankan mesej daripada kad Malaysia #QuranHour iaitu empat golongan yang perlu dibantu iaitu memberi makan kepada yang memerlukan, menyantuni anak yatim, membantu fakir miskin serta memberi sokongan kepada golongan tertindas.
Kata Zaiton, peserta yang hadir ialah wakil daripada Rumah Ngaji Masjid Sembilang Seberang Jaya, Masjid Permatang Tok Gelam, Masjid Al-Muhsi Tasek Gelugor dan Masjid Permatang Binjai.
Malaysia #QuranHour tahun ini akan berlangsung pada 30 Ogos dari jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari dengan lokasi perdana di Masjid Negara, Kuala Lumpur dan turut dilaksanakan serentak di seluruh negara.
Sebagai penyiar utama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan program itu secara langsung bersama sinergi media lain seperti Astro Awani, Astro Oasis, TV AlHijrah, TV9, Bernama, Sinar Harian, Media Prima, IKIM FM, Zayan FM, TV IKIM, Denaihati Network, Nu Ideaktiv dan Santai Travel.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

