Dua nelayan asing kendali bot tanpa kebenaran ditahan

Salah seorang nelayan warga asing yang ditahan selepas dikesan mengendalikan bot fiber tanpa kebenaran di perairan Selangor pada Khamis.
Salah seorang nelayan warga asing yang ditahan selepas dikesan mengendalikan bot fiber tanpa kebenaran di perairan Selangor pada Khamis.
A
A
A

PELABUHAN KLANG – Dua nelayan warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor selepas dikesan mengendalikan bot fiber tanpa kebenaran dalam dua operasi berasingan di perairan negeri ini pada Khamis.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 3.30 pagi di kedudukan 1.4 batu nautika barat daya Bagan Sungai Burong.

"Pemeriksaan mendapati bot berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran dan dikendalikan lelaki warga Kemboja berusia 29 tahun.

"Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri serta permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat lesen serta tiada dokumen pengenalan diri.

Menurut Abdul Muhaimin, tangkapan kedua dijalankan kira-kira jam 12.43 tengah hari di kedudukan 0.8 batu nautika barat daya Pantai Remis.

"Bot itu dikendalikan lelaki warga Vietnam berusia 31 tahun, pemeriksaan mendapati suspek memiliki dokumen pengenalan diri sah, namun tidak mempunyai permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana pemilik bot menggajikan warga asing tanpa kebenaran," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek bersama bot serta peralatan menangkap ikan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Selangor bagi tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Abdul Muhaimin menegaskan pihaknya akan terus memperketat pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di Zon Maritim Malaysia, khususnya perairan Selangor.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat, aduan atau sebarang insiden kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Selangor di 03-31760627," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!