Maritim Malaysia pamer Bot Kelas Ibrahim buat julung kali

Bot Kelas Ibrahim yang julung kali diperagakan Maritim Malaysia pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Dataran Putrajaya pada Ahad.
Bot Kelas Ibrahim yang julung kali diperagakan Maritim Malaysia pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Dataran Putrajaya pada Ahad.
A
A
A

PUTRAJAYA – Bot Kelas Ibrahim yang julung kali diperagakan Maritim Malaysia pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 kali ini mencuri tumpuan ribuan pengunjung di Dataran Putrajaya di sini pada Ahad.

Bot berprestasi tinggi itu merupakan kurniaan khas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan diserahkan pada 6 Mac lalu selepas dibina oleh Royal Boat Hangar Johor.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, simbolik penyerahan tersebut menggambarkan iltizam Seri Paduka Baginda dalam memperkukuh kawalan perairan negara selain menzahirkan kepercayaan penuh kepada agensi beruniform putih itu.

"Bot sepanjang 12.6 meter dengan lebar 3.5 meter ini diperbuat daripada aluminium marin berkualiti tinggi serta dipacu tiga enjin Mercury OBM berkuasa 300 kuasa kuda setiap satu.

"Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 56 knot dengan kelajuan pelayaran optimum 40 knot sekali gus menjadikannya antara bot pemintas paling laju yang dimiliki Maritim Malaysia," katanya pada Ahad.

Katanya, Bot Kelas Ibrahim dipinjamkan tanpa kos selama lima tahun dan ditempatkan di Maritim Negeri Johor bagi memperkukuh rondaan serta operasi penguatkuasaan di perairan strategik negeri itu.

Mohd Rosli memberikan tabik hormat ketika perbarisan Maritim Malaysia dalamSambutan Hari Kebangsaan ke-68 pada Ahad.
Mohd Rosli memberikan tabik hormat ketika perbarisan Maritim Malaysia dalamSambutan Hari Kebangsaan ke-68 pada Ahad.

"Maritim Malaysia turut memperkenalkan pasukan elit Rescue Swimmer (Perenang Penyelamat) yang berperanan melaksanakan misi menyelamat di laut dalam keadaan ekstrem.

Artikel Berkaitan:

"Ketika ini, pasukan tersebut mempunyai 11 anggota operasi manakala 12 lagi masih dalam latihan," katanya.

Menurutnya, dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan jenayah maritim termasuk penyeludupan manusia, pencerobohan nelayan asing dan penyeludupan dadah menunjukkan trend penurunan hasil kerjasama rapat Maritim Malaysia bersama Polis Marin serta Tentera Laut Diraja Malaysia.

"Secara keseluruhan, perairan negara berada pada tahap aman dan terkawal. Walaupun ada insiden berlaku, jumlahnya semakin berkurangan," katanya.

Sambutan turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong selain dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Kontinjen Maritim Malaysia dengan kekuatan 327 pegawai serta anggota dari pelbagai formasi termasuk Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team), Penerbang Maritim, Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) dan pasukan pancaragam dengan 40 anggota turut menyertai perbarisan.

Beberapa aset turut dipamerkan antaranya Bot PERKASA 36, Bot BENTENG 2, Air Boat 03, Mobile Surveillance Unit (MSU) serta Helikopter Dauphin AS365 N3.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!