Kru nelayan warga Vietnam patah tulang rusuk terkena libasan tali bot

KUALA TERENGGANU - Seorang kru bot tempatan warga Vietnam cedera parah selepas terkena libasan tali bot yang tiba-tiba putus ketika aktiviti menangkap ikan kira-kira 42 batu nautika dari timur perairan Kuala Terengganu, disini pada Sabtu.
Mangsa berusia 38 tahun itu mengalami kecederaan serius pada muka dan patah tulang rusuk sebelum dibawa keluar melalui operasi pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, pihaknya menerima laporan daripada penjaga bot nelayan terbabit pada jam 10.30 pagi.
"Bertindak atas maklumat itu, bot peronda PERKASA 1234 diatur gerak ke lokasi pada jam 11.45 pagi dan berjaya memindahkan mangsa kira-kira sejam kemudian.
"Mangsa kemudian tiba di Jeti Maritim Negeri Terengganu pada jam 1.45 petang sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)," katanya di sini pada Ahad.
Menurutnya, operasi berkenaan berjalan lancar hasil kerjasama baik antara agensi terlibat dan kesedaran komuniti nelayan yang segera melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa.
"Maritim Malaysia sentiasa bersedia memberi bantuan dalam apa jua keadaan kecemasan di laut. Kami menasihati komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan keselamatan serta mematuhi prosedur kerja semasa berada di laut," katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa sebarang kecemasan di laut boleh dilaporkan terus ke talian 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-7464357 yang beroperasi 24 jam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
