Gempa bumi Segamat: Tiada aduan kerosakan, kemalangan jiwa dilaporkan

SEGAMAT - Pemantauan susulan gempa bumi lemah yang sekali lagi melanda beberapa kawasan di daerah ini giat dijalankan oleh pihak berkuasa keselamatan serta agensi berkaitan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi berkata, orang ramai diminta melaporkan segera sebarang insiden kecemasan berkaitan gegaran berkenaan kepada pihak berkuasa.
"Setakat ini, tiada laporan kerosakan harta benda, kecederaan mahupun kemalangan jiwa diterima.
“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus memantau keadaan ini. Agensi keselamatan dan jabatan berkaitan juga sedang menjalankan pemantauan lanjut bagi memastikan keadaan di daerah Segamat berada dalam keadaan selamat, khususnya untuk orang awam,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya bertenang serta tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.
"Mereka juga disarankan mendapatkan perkembangan terkini melalui sumber rasmi seperti MetMalaysia dan agensi kerajaan lain.
"JPBD Segamat akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat terpelihara," ujarnya.
Segamat sekali lagi dilanda gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 pada jam 4.24 pagi Jumaat.
Gegaran itu merupakan yang terbaharu selepas kejadian gegaran pada jam 7.56 malam Khamis dengan magnitud 2.5.
Pada Rabu, gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud berlaku pada jam 8.59 pagi di daerah ini dengan gegaran dilapor dirasai di beberapa kawasan di negeri ini serta selatan Pahang.
Sebelum itu, pada 24 Ogos lalu, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di daerah ini pada jam 6.13 pagi dengan kekuatan magnitud 4.1.
Ini disusuli oleh gegaran kedua pada jam 9 pagi di Yong Peng, 28 kilometer (km) di barat laut Kluang, dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 km.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

