Gaza di ambang kehancuran - Ketua WFP

ROM - Ketua Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cindy McCain memberi amaran Genting Gaza kini berada di “ambang kehancuran” akibat kebuluran, sambil merayu supaya rangkaian 200 pusat agihan makanan di wilayah itu segera dihidupkan semula.
“Cukuplah. Gaza berada di titik kritikal. Keadaan putus asa semakin meningkat dan saya melihatnya sendiri,” katanya selepas meninjau keadaan di wilayah Palestin yang dikepung, ketika operasi Israel terhadap Hamas masih diteruskan.
Amaran itu dibuat kurang seminggu selepas PBB mengisytiharkan kebuluran di Genting Gaza, menuding jari kepada “halangan sistematik” Israel terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan.
McCain melawat Khan Younis dan Deir el-Balah, termasuk sebuah klinik pemakanan yang merawat kanak-kanak kelaparan serta bertemu ibu-ibu pelarian yang bergelut mencari sisa makanan.
“Saya bertemu kanak-kanak kebuluran yang sedang dirawat kerana kekurangan zat makanan serius dan saya melihat gambar mereka ketika masih sihat. Kini mereka tidak dapat dikenali,” katanya.
Beliau menegaskan rangkaian pusat agihan, dapur komuniti dan kedai roti di seluruh wilayah perlu segera digerakkan semula bagi menyelamatkan nyawa golongan paling terdedah.
Dalam lawatan itu, McCain turut bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk mendesak agar lebih banyak bantuan makanan dibenarkan masuk, selain berjumpa Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa di Ramallah.
“Apa yang kita perlukan ialah gencatan senjata. Hati saya bersama ibu-ibu di Gaza, begitu juga ibu kepada tebusan Israel, yang anak-anak mereka kini kebuluran,” katanya.
Israel kini sedang bersiap sedia menawan Bandar Gaza, namun berdepan tekanan hebat di dalam dan luar negara untuk menamatkan kempen hampir dua tahun itu.
Menurut PBB, kebuluran di wilayah Gaza sudah diisytiharkan minggu lalu. Bagaimanapun, Israel menolak laporan itu sebagai “rekaan”.
Serangan Israel di Gaza setakat ini meragut sekurang-kurangnya 62,895 nyawa rakyat Palestin, majoritinya orang awam, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Gaza yang dianggap boleh dipercayai oleh PBB. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
