Hak untuk kesihatan di Gaza kini mustahil - Pakar PBB

Penduduk Palestin berbaris untuk menerima makanan panas di pusat agihan makanan di Bandar Gaza. Foto AFP
Penduduk Palestin berbaris untuk menerima makanan panas di pusat agihan makanan di Bandar Gaza. Foto AFP
A
A
A

GENEVA - Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Kesihatan, Tlaleng Mofokeng, menyatakan bahawa hak untuk mendapatkan kesihatan di Semenanjung Gaza kini hampir tidak wujud di bawah tekanan serangan Israel yang berterusan selama 21 bulan ke atas wilayah itu, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Bercakap pada sesi ke-59 Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, Mofokeng menggambarkan situasi kemanusiaan di Gaza semakin merosot setiap hari.

"Tidak lagi mungkin untuk bercakap tentang hak kesihatan di Gaza dalam erti kata yang sebenar,” katanya, sambil memetik pelbagai pelanggaran hak asasi manusia secara meluas dan sistematik oleh Israel sebagai kuasa pendudukan.

Mofokeng menegaskan bahawa sejak serangan Israel bermula pada Oktober 2023, kemudahan kesihatan, petugas perubatan dan penentu utama kesihatan telah menjadi sasaran serangan berulang secara sengaja.

Pelapor Khas itu memberi amaran bahawa keadaan terus merosot dari hari ke hari.

"Kita kini berada dalam situasi iaitu bantuan makanan untuk menyelamatkan nyawa yang sepatutnya mencegah kebuluran dan kematian digunakan oleh kuasa pendudukan untuk menyerang orang awam tidak bersenjata yang cuba mendapatkan makanan untuk diri dan keluarga mereka,” katanya.

Mofokeng turut mengecam tindakan Israel yang terus menghalang akses bantuan kemanusiaan ke Gaza, sambil menekankan bahawa agensi PBB dihalang daripada memasuki wilayah Palestin yang diduduki secara bebas dan tanpa sekatan untuk menghantar bantuan dan membantu orang awam.

"Akibatnya,” tambahnya, "kitaran keganasan ini berterusan tanpa penyelesaian.”

Menggambarkan realiti semasa di Gaza, Mofokeng menyifatkannya sebagai "keganasan kolonial imperialis yang ditujukan terhadap penduduk tidak bersenjata yang tidak mampu mempertahankan diri.”

Artikel Berkaitan:

Beliau menekankan bahawa PBB dan masyarakat antarabangsa mempunyai alat perundangan yang diperlukan untuk menghentikan kekejaman yang sedang berlaku.

"Kita mempunyai undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, Piagam PBB dan pelbagai mekanisme undang-undang yang boleh dan mesti digunakan,” katanya. - Bernama-WAFA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!