Kerajaan Selangor galak industri guna teknologi baharu atasi kesan kenaikan tarif air

Sze Han ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Selangor International Business Summit (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam, Seksyen 14 di sini pada Khamis
Sze Han ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Selangor International Business Summit (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam, Seksyen 14 di sini pada Khamis
A
A
A

SHAH ALAM – Kesan kenaikan tarif air di Selangor tidak akan dirasai secara menyeluruh kerana tidak semua industri menggunakan jumlah air yang tinggi.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, syarikat yang mempunyai keperluan penggunaan air yang besar digalakkan untuk beralih kepada teknologi atau sistem baharu bagi meningkatkan penjimatan.

“Saya rasa impak itu bukan kepada semua industri atau syarikat kerana bukan semua menggunakan air dengan jumlah yang tinggi.

“Bagi syarikat yang memerlukan penggunaan air tinggi, kita menggalakkan mereka menggunakan teknologi baharu supaya penjimatan air dapat dicapai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Selangor International Business Summit (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam, Seksyen 14 di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata, beberapa syarikat khususnya dalam sektor pusat data telah mula menggunakan teknologi kitar semula air sebagai alternatif.

“Baru-baru ini kami ada berhubung dengan pusat data, mereka sudah ada teknologi baharu yang tidak semestinya memerlukan air bertaraf minuman (portable water).

“Mereka boleh menggunakan air kitar semula dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK) dan Air Selangor yang membolehkan bekalan air pada kos lebih rendah,” jelasnya.

Beliau menambah, kerajaan negeri melihat langkah itu sebagai satu daripada cara membantu industri meringankan beban ekoran pelaksanaan tarif baharu air.

Ditanya mengenai kesan terhadap sektor kesihatan khususnya pusat dialisis yang menggunakan air banyak untuk rawatan pesakit, Sze Han menjelaskan perkara itu akan diteliti lebih lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Isu berkenaan pusat dialisis ini saya akan panjangkan kepada Exco Kesihatan untuk perbincangan kerana ini kali pertama saya dimaklumkan mengenai masalah yang dihadapi pusat dialisis,” tambahnya.

Kerajaan Selangor sebelum ini mengumumkan pelarasan tarif air bermula September 2025 dengan kadar kenaikan lebih 50 peratus berbanding tarif lama.

Pelaksanaan tarif baharu itu dibuat selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang menyusun semula struktur tarif air di seluruh negara bagi memastikan kelestarian bekalan dan kos operasi syarikat pengendali air.

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!