Perubahan tarif air sekolah tahfiz diselaras SPAN

Mohammad Nizar
Mohammad Nizar
A
A
A

IPOH – Penetapan kadar Tarif 21 bekalan air bagi pusat tahfiz kini diselaraskan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di seluruh Semenanjung dan Labuan di bawah kategori sekolah.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, penetapan tarif air adalah di bawah bidang kuasa Menteri menurut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), berdasarkan syor yang dicadangkan oleh SPAN.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan telah mewartakan pelarasan kadar bekalan air pada 31 Januari 2024 dan ia mula berkuat kuasa pada 1 Februari 2024 bagi seluruh Semenanjung dan Labuan.

"Bagaimanapun, di negeri Perak ianya hanya mula dikuatkuasakan pada 1 Mei 2024.

"Cadangan untuk mengklasifikasi semula pusat tahfiz akan dipanjangkan kepada pihak SPAN untuk pertimbangan," katanya ketika menggulung perbahasan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Jelas Mohammad Nizar, mengikut pelaksanaan pelarasan kadar itu, Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kadar Perkhidmatan Bekalan Air) (Negeri Perak) (Pindaan) 2024 Jadual Kedua (Peraturan 3) telah mengklasifikasikan pusat tahfiz di bawah kategori sekolah dengan jenis penggunaan bukan domestik.

Sinar Harian pada 18 April lalu melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd Akmal Kamarudin menggesa kerajaan negeri mengadakan libat urus bersama pengurusan maahad tahfiz di seluruh negeri ini susulan perubahan tarif air yang dilaksanakan oleh Lembaga Air Perak (LAP) terhadap institusi tersebut.

Perubahan kod tarif daripada 41, iaitu kategori rumah ibadat dan institusi kebajikan kepada 21, iaitu kategori bukan domestik, nyata membebankan pengurusan maahad tahfiz.

Menurutnya, perubahan kod tarif tersebut menyebabkan kenaikan bayaran bil air bulanan antara RM500 hingga RM1,000 bagi sebuah maahad tahfiz.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!